SPRM, kerajaan disaman susulan siasatan terhadap hakim kes Najib

May 7, 2022 · Isu semasa

Dua peguam dan seorang aktivis memfailkan saman pemula terhadap Kerajaan Malaysia dan dua yang lain untuk menuntut perisytiharan bahawa siasatan yang dijalankan oleh Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) terhadap Hakim Mahkamah Rayuan Datuk Mohd Nazlan Mohd Ghazali adalah tidak berperlembagaan.

Ketiga-tiga plaintif, Nur Ain Mustapa, Sreekant Pillai dan Haris Ibrahim menamakan Ketua Pesuruhjaya SPRM Tan Sri Azam Baki, SPRM dan Kerajaan Malaysia sebagai defendan pertama hingga ketiga dalam saman pemula itu, lapor Bernama.

Mereka memohon untuk perisytiharan bahawa SPRM tidak berhak untuk menyiasat hakim-hakim yang berkhidmat melainkan mereka telah digantung atau dipecat.

Mereka juga memohon perisytiharan bahawa pendakwa raya tidak diberi kuasa untuk memulakan atau menjalankan sebarang prosiding bagi kesalahan terhadap hakim mahkamah yang berkhidmat dan siasatan terhadap Hakim Mohd Nazlan adalah bercanggah dengan perlembagaan.

Dalam satu kenyataan yang dikeluarkan oleh peguam mereka Tetuan Malik Imtiaz Sarwar, ketiga-tiga individu itu berkata mereka juga telah memfailkan permohonan untuk merujuk dua soalan perlembagaan berhubung relif yang dimohon ke Mahkamah Persekutuan.

“Kami telah memulakan prosiding terhadap mereka untuk menentukan persoalan perlembagaan yang penting mengenai pengasingan kuasa dan kebebasan badan kehakiman yang timbul akibat siasatan SPRM terhadap Hakim Mohd Nazlan,” kata mereka.

Menurut plaintif, mereka berpandangan siasatan terhadap hakim itu adalah satu pelanggaran oleh cabang Eksekutif terhadap kebebasan badan kehakiman dan prinsip pengasingan kuasa.

“Ia adalah perkara sangat penting yang memberi kesan kepada semua orang di negara ini. Perlembagaan Persekutuan menjamin setiap daripada rakyat akses kepada keadilan, ditadbir oleh badan kehakiman yang bebas daripada sebarang campur tangan.

“Kami tidak berpandangan Hakim Mahkamah Tinggi, Mahkamah Rayuan dan Mahkamah Persekutuan kebal daripada siasatan jenayah atau pendakwaan. Seperti kita semua, mereka mesti bertanggungjawab di atas sebarang jenayah yang mungkin mereka lakukan. Bagaimanapun, kuasa untuk menyiasat dan memulakan prosiding jenayah mesti seimbang dengan keperluan untuk memastikan keyakinan orang ramai terhadap badan kehakiman,” tegas mereka.

Mereka mendakwa perlembagaan menyediakan mekanisme untuk memastikan akauntabiliti hakim dengan cara yang tidak menjejaskan keyakinan orang ramai.

“Mekanisme itu melibatkan aduan yang dibuat secara bertulis kepada Ketua Hakim Negara dan apabila aduan itu memerlukan penyingkiran seorang hakim, pelantikan tribunal perlu dilakukan untuk menentukan aduan itu. Pada masa sama, hakim berkenaan hendaklah digantung tugas.

“Kami percaya kuasa SPRM untuk menyiasat mesti dibaca, tertakluk kepada mekanisme perlembagaan ini. Pendekatan yang harmoni akan membolehkan keyakinan orang ramai terhadap badan kehakiman, sambil memastikan hakim itu dipertanggungjawabkan,” kata mereka.

Mereka juga berpendapat Kerajaan Persekutuan dan Peguam Negara telah berdiam diri dalam menghadapi penegasan SPRM bahawa ia berhak menyiasat Hakim Mohd Nazlan.

“Sehubungan itu, ia menampakkan bahawa mereka bersetuju dengan pandangan SPRM. Badan kehakiman dibiarkan terkontang-kanting kerana tidak mempunyai kedudukan untuk memohon. Oleh itu kami terpaksa mengikut keadaan untuk menentukan isu-isu perlembagaan penting ini,” kata mereka.

Pada 23 April, akhbar The Star menyiarkan laporan eksklusif bahawa Azam telah mengesahkan suruhanjaya itu telah memulakan siasatan terhadap Hakim Mohd Nazlan berhubung dakwaan wang yang tidak dapat dijelaskan dalam akaunnya berikutan laporan rasmi yang dibuat berhubung perkara itu.

Baru-baru ini, Hakim Mohd Nazlan, yang mendengar kes Datuk Seri Najib Tun Razak dan mensabitkan bekas perdana menteri itu dengan pertuduhan berkaitan penyelewengan dana SRC International Sdn Bhd, telah membuat laporan polis berhubung artikel berita yang mendakwa beliau sedang disiasat mengenai isu wang yang tidak dapat dijelaskan dalam akaun banknya.

Kenyataan yang dikeluarkan oleh Pejabat Ketua Pendaftar Mahkamah Persekutuan pada 21 April memaklumkan bahawa Mohd Nazlan menafikan dakwaan palsu, tidak berasas dan berniat jahat itu yang bertujuan menjejaskan kredibiliti beliau sebagai seorang hakim serta mengganggu pentadbiran keadilan jenayah dan badan kehakiman.

Berita berkaitan
Rayuan Rosmah dalam kes rasuah solar didengar pada 23 Okt
April 23, 2024· Isu semasa
Terdapat ‘kesilapan fakta’ dalam afidavit Zahid, kata Tengku Zafrul
April 18, 2024· Politik
Anwar bantah permohonan ujian poligraf dibuat Yusoff Rawther: Laporan
March 30, 2024· Politik
Saman fitnah: Rayuan Jamal ditolak, perlu bayar RM300 ribu kepada Kok
March 27, 2024· Isu semasa
Popular
Kenali pereka kasut, Jimmy Choo
November 6, 2021
Banjir: Tiga beradik maut kena renjatan elektrik di Kelantan
December 19, 2022
Ketahui hak harta sepencarian selepas bercerai
January 12, 2022
SPRM ambil keterangan kedua Menteri DAP: Laporan
April 19, 2023
Lagi Isu semasa terkini
Semua 10 mayat mangsa nahas helikopter berjaya dikeluarkan
April 23, 2024 · Isu semasa
Jualan saham pelabur asing tertinggi empat tahun minggu lalu: MIDF
April 22, 2024 · Isu semasa
KWSP jual pegangan saham terbesar dalam Affin Bank
April 18, 2024 · Isu semasa
Ringgit ditutup paras RM4.79 berbanding dolar, hampir cecah rekod 1997
April 18, 2024 · Isu semasa
Kesan hapus subsidi, Bank Dunia jangka inflasi Malaysia naik 2.5 peratus
April 1, 2024 · Isu semasa
Video / Foto
[VIDEO] Mahathir dakwa SPRM ugut Mirzan untuk dakwa dirinya
January 22, 2024
[VIDEO] Siasat saya senang, yang susah siasat PM sebab ada kuasa, kata Mahathir
January 22, 2024

Agenda Daily

Berita tepat dan menyeluruh.

Umum

Tentang kami

Hubungi kami

Penafian

Sosial media

Facebook

Twitter

Youtube

Instagram

TikTok