SPRM kata tiada kes salah laku oleh Muhyiddin

Tiada sebarang salah laku yang dilakukan bekas Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin berhubung dakwaan mengatakan beliau menawarkan jawatan dalam syarikat berkaitan kerajaan (GLC) bagi mendapatkan sokongan politik.

Perkara itu disahkan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Parlimen dan Undang-undang) Datuk Seri Wan Junaidi Tuanku Jaafar di Parlimen hari ini.

Susulan itu, katanya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) tidak meneruskan siasatan terhadap kes berkenaan.

Ini kerana katanya, SPRM mendapati tiada unsur salah laku mengikut akta SPRM berhubung dakwaan itu.

Menurutnya SPRM juga memaklumkan tiada unsur salah guna kuasa dilakukan Ahli Parlimen Pasir Salak daripada UMNO, Datuk Seri Tajuddin Abdul Rahman.

Beliau berkata SPRM mengklasifikasikan kedua-dua kes itu sebagai ‘Tiada Tindakan Lanjut (NFA)’.

“SPRM mendapati tiada unsur salah laku di bawah Akta SPRM,” kata Wan Junaidi memberikan jawapan bertulis kepada soalan yang diberikan Teo Nie Ching (Kulai-PH) di Parlimen.

Muhyiddin dikatakan disiasat kerana didakwa menawarkan jawatan dalam syarikat berkaitan kerajaan (GLC) sebagai pertukaran untuk sokongan politik, manakala Tajuddin pula disiasat atas dakwaan salah guna kuasa.

Sebelum ini rakaman audio yang tidak disahkan mendakwa Muhyiddin mahu memikat pemimpin UMNO menyertai Bersatu dengan janji-janji jawatan kerajaan tersebar di media sosial.

Rakaman itu dipercayai dibuat pada mesyuarat Majlis Tertinggi Bersatu pada 23 Februari 2020 sehari sebelum Tun Dr Mahathir Mohamad meletak jawatan sebagai perdana menteri dan pengerusi Bersatu.

Sementara itu, Tajuddin yang juga bekas Pengerusi Prasarana disiasat SPRM pada 28 Mei tahun lalu tetapi dibebaskan kemudian dengan ikat jamin.

Wan Junaidi bagaimanapun berkata siasatan terhadap Ahli Parlimen Kuala Langat Dr Xavier Jayakumar masih diteruskan.

Siasatan terhadap bekas bekas Menteri Air, Tanah dan Sumber Asli itu bermula Februari tahun lalu selepas SPRM menahan sekutunya dan Timbalan Ketua PKR Perak MA Tinagaran.

BERITA BERKAIT
POPULAR