SPRM ambil alih siasat kes jual tanah lapangan terbang Seri Iskandar

Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Perak belum memanggil mana-mana individu untuk siasatan mengikut Seksyen 23 Akta SPRM 2009, berhubung isu penjualan tanah tapak lapangan terbang di Seri Iskandar.

Pengarah SPRM Perak Datuk Mohd Fauzi Mohamad berkata pihaknya sedang melakukan kajian ke atas dokumen yang diperoleh daripada beberapa agensi berkaitan.

“Kita masih belum panggil lagi (individu) mahupun membuat apa-apa tangkapan. Setakat ini, pengumpulan bukti dan keterangan sedang dilakukan,” katanya memetik laporan Utusan.

Media pada 4 April lalu melaporkan, Pemuda Pakatan Harapan (PH) Perak membuat laporan polis dan menggesa siasatan dilakukan terhadap penjualan tanah untuk pembinaan lapangan terbang antarabangsa tersebut.

Isu penjualan tanah lapangan terbang itu timbul selepas Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Aulong, Nga Kor Ming mendakwa tanah berkenaan sudah dijual tanpa kebenaran kerajaan negeri.

Bagaimanapun, Menteri Besar, Datuk Seri Saarani Mohamad memaklumkan bahawa penjualan tanah itu berlaku ketika di bawah pentadbiran PH kepada syarikat swasta bagi tujuan pembangunan bercampur di kawasan berkenaan.

Sementara itu, Ketua Polis Perak Datuk Mior Faridalathrash Wahid berkata laporan kes berkenaan telah dirujuk kepada SPRM kerana siasatan kes itu di bawah bidang kuasa agensi berkenaan.

“Saya mengesahkan satu laporan polis diterima daripada seorang individu tentang isu tersebut dan kita rujuk laporan itu kepada SPRM kerana melibatkan siasatan di bawah bidang kuasa mereka,” katanya dalam sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Perak hari ini.

BERITA BERKAIT
POPULAR