
SPRM dan Jabatan Keadilan Amerika Syarikat bekerjasama dalam siasatan individu menerima rasuah daripada bekas pegawai bank Goldman Sachs Group Inc, Tim Leissner.
Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) mengakui usaha mendapatkan senarai nama individu didakwa menerima rasuah daripada bekas pegawai bank Goldman Sachs Group Inc, Tim Leissner, agak sukar.
Memetik laporan FMT, Ketua Pesuruhjaya SPRM Tan Sri Azam Baki berkata pihaknya bekerjasama dengan pihak berkuasa Amerika Syarikat (AS) bagi mendapatkan senarai nama itu.
Bagaimanapun, beliau mengakui, usaha untuk mendapatkan nama berkenaan agak sukar kerana melibatkan individu dari luar negara dan terpulang kepada pihak AS untuk berkongsi maklumat yang diperlukan.
“Kita sedang berhubung dengan pihak AS jika mereka boleh kongsikan bukti baharu. Itu hak prerogatif mereka. Jika mereka nak kongsi, mereka akan sedia kongsikan bukti (nama),” katanya dipetik daripada laporan FMT itu.
Azam juga mengesahkan SPRM telah membuka kertas siasatan susulan aduan yang dibuat bekas Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak tahun lalu terhadap pegawai bank berkenaan.
Menurutnya, SPRM tidak boleh bertindak sendirian dan perlu melalui Pejabat Peguam Negara serta undang-undang negara berkenaan untuk mendapatkan bukti yang diperlukan.
“Permohonan ini bukan kami boleh terus buat, kerana kita perlu melalui Pejabat Peguam Negara kerana sebarang keterangan luar negara yang kita nak peroleh mesti melalui ‘mutual legal assistance’ dan undang-undang negara berkenaan,” katanya menurut laporan itu.
Laporan itu juga memetik beliau sebagai berkata, setakat ini pihak berkuasa AS sudah memberikan maklum balas namun masih belum mendedahkan nama yang terlibat.
“Setakat ini ada reaksi positif daripada AS tetapi mereka belum lagi dedahkan bukti diperlukan. Kami sedang cuba dan amat berharap (dapat senarai nama),” katanya.
Pada 27 Oktober tahun lalu, Najib membuat laporan terhadap bekas pegawai Goldman Sachs Group Inc itu di Ibu Pejabat SPRM Putrajaya bagi membolehkan pihak berkuasa Malaysia menyoal, membawa balik atau meminta senarai nama daripada Jabatan Keadilan (DOJ) AS dalam usaha membersihkan namanya dalam kes 1MDB.
Najib dilaporkan berkata, tindakannya itu diambil kerana sudah habis usaha yang dilakukannya untuk mendapatkan senarai nama individu daripada syarikat 1MDB dan kerajaan Malaysia yang didakwa pernah disogok oleh Leissner seperti pengakuan salah lelaki itu di mahkamah AS pada 2018.
Pengakuan salah itu menyaksikan Goldman Sachs bersetuju membayar ganti rugi sebanyak AS$3.9 bilion (RM16.4 bilion) kepada kerajaan Malaysia.