SPR ‘hidupkan enjin’ PRU-15

June 24, 2022 · Isu semasa

Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) mula ‘menghidupkan enjin’ sebagai persiapan bagi mengadakan Pilihan Raya Umum Ke-15, termasuk memberikan taklimat kepada sukarelawan, di tengah-tengah desakan daripada UMNO supaya pemilihan diadakan tahun ini, lebih awal daripada September 2023.

Menurut satu laporan, sukarelawan SPR yang terlibat dalam PRU-14 pada 2018 lalu telah diarah bersiap sedia.

Mereka juga dilaporkan telah hadir dalam taklimat yang diberikan SPR pada 13 dan 14 Jun lalu.

Timbalan pengerusi SPR Prof Dr Azmi Sharom dipetik sebagai berkata bahawa SPR menetapkan tarikh pilihan raya apabila Parlimen dibubarkan.

“Hanya ahli politik yang tahu bila itu. Latihan dilakukan secara agak kerap supaya (kakitangan dan sukarelawan) bersedia. Lagipun, kita tidak tahu bila pilihan raya akan diadakan,” katanya menurut laporan ST.

Menurut kenyataan dalam laman sesawang SPR pada 16 Jun, daftar pemilih terkini turut membabitkan pemilih yang berusia 18 tahun pada akhir Mei, berikutan pelaksanaan pendaftaran automatik di bawah undang-undang yang dipanggil Undi18.

Undang-undang itu, yang berkuat kuasa pada 15 Disember 2021, menurunkan umur mengundi kepada 18 daripada 21 tahun dan membenarkan pendaftaran pemilih secara automatik.

Ia akan menambah kira-kira 5.8 juta pengundi kali pertama ke dalam daftar pemilih – peningkatan 40 peratus daripada 14.8 juta pemilih layak negara pada PRU 2018.

Lebih ramai sukarelawan dan pusat mengundi mungkin diperlukan untuk menampung pengundi yang lebih besar bagi PRU-15 nanti.

Beberapa kem dalam gabungan Barisan Nasional (BN) telah menggesa PRU-15 diadakan lebih awal susulan kemenangan berturut-turut dalam pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka dan Johor.

Tetapi Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob yang juga Naib Presiden UMNO – ‘abang besar’ yang mengetuai BN – telah berkata bahawa pilihan raya tidak sepatutnya diadakan sehingga Malaysia mampu mengekang inflasi yang semakin meningkat.

Hafidzi Razali, seorang penganalisis kanan di perundingan risiko Bower Group Asia, berkata Ismail Sabri memerlukan masa untuk mengukuhkan kedudukannya dalam parti.

“Beliau memerlukan kepastian bahawa beliau bukan hanya akan menjadi tokoh atau digantikan selepas memberikan keputusan yang memberangsangkan untuk UMNO-BN pada PRU-15. Ia lebih masuk akal untuk PRU-15 diadakan awal tahun depan,” katanya.

“Di luar politik dalaman, keutamaan Ismail Sabri adalah untuk menyelesaikan pelbagai cabaran ekonomi yang memerlukan keputusan yang tidak popular, dan beliau memerlukan lebih banyak masa untuk melembutkan kesan reputasi yang berbangkit kepada UMNO-BN.”

Bagaimanapun, semakin lama pilihan raya itu ditangguhkan, semakin tipis peluang BN untuk menang.

Penganalisis sosiopolitik Awang Azman Pawi dari Universiti Malaya dipetik sebagai berkata parti pembangkang kekal berpecah buat masa ini, tetapi jika mereka membentuk pakatan, BN akan mendapati lebih sukar untuk memenangi PRU-15.

Beliau berkata menangguhkan pengundian atas dasar menangani inflasi bukanlah alasan kukuh kerana “lebih banyak masalah ekonomi mungkin timbul dan peningkatan inflasi akan menjadi lebih sukar untuk dikawal”.

Firma Fitch Solutions Country Risk and Industry Research yang dikeluarkan pada Rabu (22 Jun) menjangkakan PRU-15 akan diadakan pada separuh kedua tahun ini.

“Pakatan BN berkemungkinan mahu memanfaatkan momentum (kemenangan dua PRN) untuk mendapatkan semula kedudukan dominannya dalam politik Malaysia,” kata firma itu.

Pada 2018, BN dikalahkan buat pertama kali dalam sejarah oleh gabungan Pakatan Harapan (PH), tetapi PH tumbang setelah Tun Dr Mahathir Mohamad meletak jawatan dan Tan Sri Muhyiddin Yassin mengambil alih pentadbiran negara setelah membawa Bersatu keluar dari PH.

Namun, tahun lalu, 15 Ahli Parlimen UMNO diketuai presidennya Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi mengkhianati perjanjian sokongan dan menggulingkan Muhyiddin, yang kemudian digantikan dengan Ismail Sabri.

Kerajaan Ismail Sabri sekarang ini adalah gabungan daripada BN dan Perikatan Nasional (PN) iaitu gabungan beberapa parti, termasuk Bersatu dan PAS.

Berita berkaitan
Desakan Bubar MPN bukti ada pemimpin hanya pentingkan politik
7 jam lalu· Rencana
Adakah adil menyalahkan kerajaan untuk sesuatu di luar kawalan mereka?
8 jam lalu· Rencana
Zahid sepatutnya berundur, jadi perosak kestabilan negara: Wan Saiful
8 jam lalu· Politik
Tarikh PRU-15, Utusan dedah tidak pernah ada perbincangan ‘Top 5’ UMNO
9 jam lalu· Politik
Popular
Lelaki bogel tunggang motosikal ditahan disyaki bunuh isteri, bayi
July 4, 2022
Mahkamah tolak permohonan Zahid tangguh prosiding kes rasuah
July 4, 2022
Shafee hidap laringitis: Kes Najib, laporan audit didengar 12 Ogos
July 4, 2022
Perbicaraan pengesahan lafaz cerai MB Perlis ditetapkan 25 Ogos
July 4, 2022
Lagi Isu semasa terkini
Syed Saddiq arah keluar tunai RM1 juta dari bank: Saksi pendakwaan
4 jam lalu · Isu semasa
Lelaki bogel tunggang motosikal ditahan disyaki bunuh isteri, bayi
4 jam lalu · Isu semasa
Gempur kilang, sempadan sekat seleweng minyak masak subsidi: PM
4 jam lalu · Isu semasa
Maybank IB pula unjur OPR naik 100 bps untuk 12 bulan akan datang
5 jam lalu · Isu semasa
Aidiladha: Lebih 2.3 juta kenderaan bakal guna KLK, LPT pada 8-11 Julai
6 jam lalu · Isu semasa
Video / Foto
[VIDEO] Tak serius, kerajaan ambil lewa isu harga barang, kata pemimpin Amanah
July 1, 2022
[FOTO] Himpunan bantahan kenaikan harga
July 1, 2022

Agenda Daily

Berita tepat dan menyeluruh.

Umum

Tentang kami

Hubungi kami

Penafian

Sosial media

Facebook

Twitter

Youtube

Instagram

TikTok