SPR gesa lebih 2.53 juta pengundi buat pilihan Sabtu ini

Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menyeru semua pengundi supaya keluar menunaikan tanggungjawab mereka sebagai pengundi pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor, Sabtu ini (12 Mac 2022).

Setiausaha SPR Datuk Ikmalrudin Ishak berkata seramai 2,539,606 pengundi biasa daripada 2,597,742 pengundi berdaftar, layak mengundi Sabtu ini.

Menurutnya pengundi yang telah mengetahui maklumat pengundian, disaran terus ke saluran mengundi yang ditetapkan.

“Pengundi juga disaran agar membuat semakan lebih awal sebelum hari mengundi melalui portal semakan daftar pemilih https://pengundi.spr.gov.my; aplikasi MySPR Semak; atau hotline SPR di talian 03-8892 7018.

“Semasa membuat semakan, pengundi disaran untuk mencatat dan menyimpan maklumat berkaitan pusat mengundi; saluran mengundi; dan nombor bilangan pemilih,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Ikmalrudin berkata SPR juga melalui aplikasi MySPR Semak, meletakkan maklumat ‘Masa Keluar Mengundi Yang Digalakkan’ untuk setiap pengundi dan mereka dinasihatkan supaya keluar mengundi mengikut masa yang dicadangkan itu.

Bagaimanapun, katanya jika pengundi tidak dapat hadir pada masa keluar mengundi yang digalakkan atas sebab-sebab tertentu, pengundi masih boleh keluar mengundi mengikut kelapangan masa dari jam 8 pagi hingga 6 petang atau waktu yang telah diwartakan di pusat mengundi masing-masing.

“Namun demikian, pengundi adalah dinasihatkan untuk tidak keluar mengundi pada saat-saat akhir dan sentiasa mematuhi semua undang-undang, peraturan dan garis panduan khas pencegahan Covid-19 pada hari mengundi nanti.

“Pengundi diingatkan supaya membawa kad pengenalan dan catatan maklumat pengundian serta menunjukkannya kepada Kerani Pengundian Pertama (KP1) di saluran. Catatan maklumat pengundian itu akan memudahkan KP1 untuk membuat semakan nama pengundi serta membantu kelancaran proses pengundian pada hari mengundi.

“Selain itu, pengundi juga dinasihatkan untuk menyimpan kad pengenalan mereka dengan selamat dan tidak menyerahkannya kepada pihak lain kecuali petugas pilihan raya di pusat mengundi masing-masing,” katanya.

BERITA BERKAIT
POPULAR