SPR dicadang sekat jentera luar berkempen semasa PRN Melaka

Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) boleh mengambil langkah dengan mengenakan sekatan kepada jentera luar dari memasuki Melaka semasa tempoh berkempen sekiranya pilihan raya negeri dijalankan.

Cadangan itu disuarakan bekas Timbalan Pengerusi Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR), Datuk Seri Wan Ahmad Wan Omar bagi membendung penularan besar Covid-19 seperti berlaku di Sabah tahun lalu.

“Pengundi luar perlu ada kad pengesahan sebagai bukti mereka ada sebab untuk masuk ke dalam kawasan PRN.

“SPR boleh buat, senang saja dan tiada masalah kerana semua maklumat ada dalam pangkalan data daftar pemilih. Pengundi boleh cetak sendiri.

“Jentera kempen dari luar jangan benarkan masuk, itu yang paling penting kerana yang merosakkan keadaan adalah aktiviti kempen.

“Kita tengok PRN Sabah, banyak perkara tidak dipatuhi malah orang Semenanjung yang balik berkempen tidak dipaksa kuarantin dan sebagainya,” katanya lapor sebuah portal.

Beliau juga menggesa supaya SPR tidak membenarkan kaedah berkempen secara kebiasaan dan perlu diubah secara kaedah menggunakan media sosial.

“Saya difahamkan SPR merumuskan SOP yang begitu baik dan menyeluruh dengan mengambil pengalaman tujuh pilihan raya kecil (PRK) dan termasuk PRN Sabah sebelum ini.

“Maka, saya tak nampak (tak boleh buat PRN) kalau polis, Kementerian Kesihatan (KKM) dan SPR bersepakat dengan Majlis Keselamatan Negara (MKN) untuk kuatkuasakan SOP yang tegas,” katanya.

Kerajaan Melaka pimpinan UMNO jatuh selepas empat ADUN yang terdiri daripada dua wakil UMNO juga menarik sokongan terhadap Ketua Menteri (KM) Datuk Seri Sulaiman Md Ali.

Gerakan menjatuhkan kerajaan negeri tersebut diketuai ADUN UMNO (Sungai Udang), Datuk Seri Idris Haron yang juga merupakan bekas KM sebelum ini.

BERITA BERKAIT
POPULAR