SOP rentas negeri kekal, SOP PRN Melaka dibincang esok: Khairy

Prosedur operasi standard (SOP) sedia ada akan diguna pakai apabila kebenaran merentas negeri diboleh dalam tempoh beberapa hari lagi, kata Menteri Kesihatan Khairy Jamaluddin.

Menurutnya, tidak ada SOP baharu yang akan diperkenalkan malah kerajaan juga tidak mewajibkan pelaksanaan ujian kendiri Covid-19 bagi individu yang belum atau menolak vaksin, yang mahu merentas negeri.

Katanya, cadangan mewajibkan ujian kendiri sudah dikaji dan pihaknya mendapati ia sukar untuk dikuatkuasakan, sekali gus berharap semua pihak perlu jujur dan bertanggungjawab bagi memastikan keselamatan diri dan keluarga jika mahu merentas negeri.

“Kita dah kaji cadangan itu tapi tiada cara untuk kuat kuasakannya. Takkan nak laksana sekatan jalan raya untuk periksa setiap individu, kerana rakyat akan marah jika jalan sesak sedangkan mereka sudah tunggu lama untuk rentas negeri.

“Ini tidak seperti gelembung pelancongan di Langkawi kerana jumlahnya tidak ramai. Ini (rentas negeri) babitkan jalan keluar masuk di semua negeri, mustahil untuk kita periksa semua.

“Cuma SOP Majlis Keselamatan Negara (MKN) sedia ada akan terus digunakan. Ertinya, jika ada individu belum divaksin yang merentas negeri, dia tetap tidak boleh nikmati kelonggaran seperti makan di restoran dan seumpamanya,” katanya, hari ini.

Mengenai Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka, Khairy berkata Jawatankuasa Khas Pengurusan Pandemik akan memberi cadangan pada mesyuarat Kabinet esok.

Kementerian Kesihatan (KKM) sudah memaklumkan pendirian mengenai PRN itu dalam jawatankuasa berkenaan semalam.

Jika mesyuarat jemaah menteri memutuskan untuk PRN Melaka dilaksanakan, beliau memberi jaminan KKM sedia untuk melaksanakan apa jua SOP bagi meminimakan risiko jangkitan Covid-19 sepanjang PRN berlangsung.

“KKM sudah membentangkan pendirian dalam Jawatankuasa Khas Pengurusan Pandemik Covid-19 semalam. Kita akan bincang sekali lagi dalam mesyuarat jemaah menteri esok.

“Ini kerana hal ini bukan saja membabitkan faktor kesihatan, tapi juga soal perundangan dan Perlembagaan.

“Kita akan ambil maklum apa saja keputusan jemaah menteri dan KKM akan sediakan apa saja SOP yang diperlukan jika ia (PRN Melaka) diteruskan. Kalau ia tidak diteruskan, kita ada masa lagi (untuk persiapan pilihan raya),” katanya.

BERITA BERKAIT
POPULAR