SOP negeri Fasa 1, 2 PPN dilonggar sedikit

Kerajaan melonggarkan sedikit prosedur operasi standard (SOP) bagi negeri dalam Fasa 1 dan Fasa 2 di bawah Pelan Pemulihan Negara (PPN) susulan perkembangan positif keberkesanan dan kadar vaksinasi negara.

Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata bagi negeri di bawah Fasa 1 PPN, kerajaan membenarkan kehadiran di pejabat bagi sektor awam ditingkatkan kepada 40 peratus.

“Kebenaran itu adalah tertakluk kepada arahan Ketua Setiausaha Negara (KSN). Untuk perkhidmatan perakaunan juga dibenarkan beroperasi dengan kapasiti 60 peratus,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Selain itu, operasi pasar harian dan pasar awam dilanjutkan dari jam 6 pagi hingga 4 petang tertakluk kepada kelulusan pihak berkuasa tempatan (PBT) dengan pematuhan SOP dan pengawasan anggota RELA atau PBT.

* Waktu operasi bagi Pasar Segar Terkawal (PST) pula akan dilanjutkan dari jam 7 pagi hingga 2 petang.

* Aktiviti berbasikal dan permainan individu yang boleh mengamalkan penjarakan fizikal 2 hingga 3 meter dibenarkan di kawasan kejiranan sahaja.

* Pelabuhan, lapangan terbang, dan sektor logistik dibenarkan untuk beroperasi 24 Jam.

Dalam pada itu, pengoperasian lombong dan kuari adalah dibenarkan dengan kapasiti pekerja hingga 60 peratus tertakluk kepada SOP perlombongan dan pengkuarian.

“Ini bagi memenuhi keperluan projek-projek kritikal yang membabitkan pembaikan dan pembinaan jalan raya, jalan-jalan luar bandar serta persekutuan,” katanya.

Ismail Sabri berkata, bagi negeri yang berada di Fasa 2 PPN, aktiviti penggambaran filem di luar studio dibenarkan dengan pematuhan SOP ketat.

Waktu operasi premis perniagaan pula dibenarkan dari jam 6 pagi hingga 10 malam termasuk ‘specialty stores’ iaitu stesen minyak.

BERITA BERKAIT
POPULAR