SOP kempen PRN Melaka akan diumum pada hari penamaan calon: SPR

Prosedur operasi standard (SOP) khas bagi Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka akan dikeluarkan pada hari sama penamaan calon Isnin ini, kata Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR).

SPR berkata, buat masa ini belum ada sebarang SOP yang dikeluarkan dan dimuktamadkan, ia hanya akan diumumkan pada Isnin ini selewat-lewatnya.

“SOP akan dikeluarkan selewat-lewatnya pada hari penamaan calon Isnin ini,” kata SPR dipetik laporan BH.

Minggu lalu, kerajaan negeri Melaka dilaporkan sedang memperhalusi prosedur operasi standard (SOP) khas berkaitan PRN Melaka yang turut membabitkan Majlis Keselamatan Negara (MKN) dan SPR sebelum ia dimuktamadkan.

Sebelum ini, Menteri Kesihatan, Khairy Jamaluddin Abu Bakar, mengumumkan larangan aktiviti perhimpunan dan majlis sosial berkaitan pilihan raya bermula 25 Oktober lalu hingga 27 November ini.

Larangan itu dibuat berdasarkan peruntukan mengikut subperaturan 10(1) Peraturan-Peraturan Pencegahan Dan Pengawalan Penyakit Berjangkit (Langkah-Langkah Di Dalam Kawasan Tempat Jangkitan) (Pelan Pemulihan Negara) 2021.

Pengerusi SPR, Datuk Abdul Ghani Salleh sebelum ini menetapkan hari penamaan calon pada 8 November dan tarikh mengundi awal pada 16 November manakala 20 November ini sebagai hari pengundian.

Beliau berkata, tempoh berkempen pula adalah 12 hari bermula selepas pengisytiharan calon sehingga jam 11.59 malam 19 November.

BERITA BERKAIT
POPULAR