Soo Winnci harungi laluan sukar untuk berjaya

November 27, 2021 · Isu semasa

“Orang tanya kenapa saya suka belajar dan tidak cukupkah pencapaian akademik, status serta kerjaya dimiliki kini, jawapan saya lagi tinggi saya menuntut ilmu, lebih banyak pengetahuan, semakin besar potensi menggapai kejayaan hidup,” kata Ratu Cantik  Malaysia/ Dunia 2008/2009, Dr. Soo Wincci, 36.

Tidak pernah lupa diri, tiada istilah bosan menuntut ilmu dalam diri  Soo Wincci. Baginya, artis yang ingin kekal lama dalam industri bukan sahaja perlu ada bakat dan populariti sebaliknya perlu ada ilmu pengetahuan yang banyak.

Wincci berkata, secara peribadi, dia melihat pendidikan memainkan peranan penting dalam membuka peluang kepada individu untuk meneroka bidang diminati dan diceburi dengan lebih jauh.

Katanya, ilmu bermanfaat diperoleh melalui pendidikan mampu meningkatkan keupayaan diri, potensi dan kemahiran individu untuk menggapai impian.

“Dalam kemajuan dunia sekarang, terutama membabitkan perkembangan pasaran kerjaya, pengalaman harus diadun bersama pendidikan yang baik bagi memudahkan individu bersaing, terutama di peringkat antarabangsa.

“Justeru, seseorang itu perlu sentiasa berusaha meningkatkan tahap pengetahuan mereka dari semasa ke semasa, termasuk menuntut ilmu ke peringkat lebih tinggi,” katanya.

Selain memiliki Ijazah Sarjana Muda Undang-Undang dari University of Reading, United Kingdom, Soo Wincci memperoleh tiga sarjana, iaitu Sarjana Pentadbiran Perniagaan (University of Sunshine Coast, Australia); Sarjana Produksi Muzik, Teknologi dan Inovasi (Berklee Valencia, Sepanyol) dan Sarjana Fellowship Live Music Production (Berklee Valencia, Sepanyol).

Lima ijazah dalam tempoh 15 tahun

Anak kelahiran Selangor itu juga berjaya menggenggam Ijazah Doktor Falsafah (PhD) Pentadbiran Perniagaan di Universiti Terbuka Malaysia, sekali gus melakar kejayaan tersendiri apabila memperoleh lima ijazah berkenaan dalam tempoh 15 tahun.

Lebih membanggakan, Wincci mencipta rekod Malaysia apabila menerima dua pengiktirafan daripada Malaysia Book of Records sebagai Most Number of Academic Degrees Obtained by A Beauty Queen dan Most Number of Academic Degrees Obtained by a Recording Artist.

Wincci berkata, generasi muda perlu mengambil peluang atas perubahan sistem pendidikan yang semakin maju kini untuk menuntut ilmu sebaik mungkin dan menggapai kejayaan lebih tinggi.

Cabaran dunia kini, katanya, menyaksikan persaingan sengit dalam pelbagai aspek, jadi individu perlu bijak mencari peluang untuk mencipta pasaran dan menempatkan diri, terutama melalui pengetahuan meluas dimiliki. Ini termasuklah perubahan gaya hidup dan sistem pendidikan yang menekankan aspek teknologi digital akibat penularan Covid-19.

“Memanglah belajar menuntut pengorbanan, tetapi kita perlu tabah, berani, berdikari, berusaha dan memperbaiki kemampuan sendiri.

“Jika orang menganggap paras rupa penentu kelayakan mereka berjaya dalam hidup sampai bila-bila, saya melihat keadaan itu berbeza kerana kecantikan akan pudar, tetapi ilmu dimiliki kekal selamanya untuk membantu individu tetap bertahan,” katanya yang kini melanjutkan pengajian PhD kedua dalam bidang Produksi Artistik di University of Polytechnic, Sepanyol.

Jamah roti, kentang gara-gara wang simpanan habis

Di sebalik kejayaan menggenggam lima ijazah, Wincci mengakui keputusan merantau ke Valencia, Sepanyol untuk menimba ilmu sejak  empat tahun lalu bukan sesuatu yang mudah.

“Keputusan untuk ke Sepanyol pernah ditentang keluarga. Malah, kerana terlalu marah, bapa halau saya keluar rumah kerana bimbang keputusan saya itu menambahkan lagi beban hutang.

“Apabila sibuk dengan pelajaran, perniagaan yang saya usahakan di tanah air tidak dapat diteruskan. Saya hilang sumber pendapatan dan pernah pada suatu ketika, saya hanya ada 1 Euro RM4.64) di tangan.

“Mahu atau tidak, saya perlu gandakan usaha dengan belajar untuk mendapat biasiswa. Saya terpaksa tolak tawaran drama dan ada yang menganggap saya bodoh kerana melepaskan peluang depan mata. Banyak yang berlaku hingga saya hampir berputus asa,” katanya.

Ceritanya lagi, dia  datang ke Sepanyol dengan hutang keliling pinggang. Syarikatnya terpaksa ditutup dan rakan niaga terpaksa membantu menyelesaikan masalah hutang.

“Kelas pula agak membebankan kerana saya tidak mempunyai pengetahuan dalam produksi muzik. Saya sanggup berusaha gigih hingga semua orang tahu, saya tidur di kolej.

“Pernah pada satu masa, untuk berjimat, saya makan roti atau kentang kerana lebih murah” kata penyanyi Musim Asmara itu.

Kesusahan juga katanya, hampir membuatkan pengajiannya terhenti, namun dia enggan pulang ke tanah air dengan tangan kosong. Untuk melunaskan yuran pengajian yang sangat tinggi, Wincci berusaha menguasai bahasa Sepanyol supaya dapat bekerja di studio.

“Siang saya belajar, malam pula bekerja di studio. Saya bersyukur memiliki rakan niaga yang banyak membantu. Selain cuba menyelesaikan hutang syarikat, dia turut meminjamkan sedikit wang untuk saya melunaskan yuran pelajaran.

“Saya tidak akan mengalah mengejar impian. Setiap kali melihat tangkapan skrin baki duit saya sebelum ini, ia memberi semangat untuk saya berusaha lebih kuat dan teruskan perjuangan. Paling penting, jangan pandang belakang,” katanya.

Kongsi pengalaman dalam lagu, buku

 Pada tahun 2019,  segala pengalaman itu dicurahkan menerusi lagu terbarunya, Cut Away yang menyorot setiap langkahnya ketika memulakan hidup baharu di Sepanyol.

Lagu itu kata Wincci, dihasilkan dalam empat bahasa iaitu Melayu, Mandarin, Inggeris dan Sepanyol.

“Saya datang ke sini untuk mendapatkan ilmu dan sanggup bermula kembali dari bawah. Saya tidak kisah lagi soal kemasyhuran kerana wang dan populariti, semuanya tidak akan kekal,” katanya.

Walaupun banyak yang ditempuhi oleh Wincci tetapi dia tidak akan berhenti dan ini menjadi permulaan untuk dia membina impian muzik antarabangsa.

“Saya akan membina impian  di Sepanyol walaupun terpaksa ulang- alik ke untuk TV rakaman dan persembahan. Saya berharap ini akan menjadi sumber inspirasi kepada semua agar terus belajar dan teruskan perjalanan impian semua,” katanya yang ingin menulis buku tentang kehidupannya di Sepanyol dalam bahasa Melayu.

Berita berkaitan
Tuah busana 7 Puteri Ulek Mayang
December 13, 2021· Isu semasa
Ratu Cantik Malaysia 2021: Doktor cantik, bijak
November 24, 2021· Isu semasa
Popular
Rayuan Rosmah dalam kes rasuah solar didengar pada 23 Okt
April 23, 2024
Kenapa generasi muda semakin hilang adab?
February 14, 2023
Kembalikan deria bau
November 9, 2021
Solat sunat Aidilfitri: Jemaah digalak pakai pelitup muka
April 19, 2023
Lagi Isu semasa terkini
Rayuan Rosmah dalam kes rasuah solar didengar pada 23 Okt
April 23, 2024 · Isu semasa
Semua 10 mayat mangsa nahas helikopter berjaya dikeluarkan
April 23, 2024 · Isu semasa
Jualan saham pelabur asing tertinggi empat tahun minggu lalu: MIDF
April 22, 2024 · Isu semasa
KWSP jual pegangan saham terbesar dalam Affin Bank
April 18, 2024 · Isu semasa
Ringgit ditutup paras RM4.79 berbanding dolar, hampir cecah rekod 1997
April 18, 2024 · Isu semasa
Video / Foto
[VIDEO] Mahathir dakwa SPRM ugut Mirzan untuk dakwa dirinya
January 22, 2024
[VIDEO] Siasat saya senang, yang susah siasat PM sebab ada kuasa, kata Mahathir
January 22, 2024

Agenda Daily

Berita tepat dan menyeluruh.

Umum

Tentang kami

Hubungi kami

Penafian

Sosial media

Facebook

Twitter

Youtube

Instagram

TikTok