Solat jenazah di masjid, surau 14 mukim di Besut tidak dibenarkan

Pengurusan pengebumian jenazah di tanah perkuburan dilaksanakan dengan kehadiran tidak melebihi 20 orang terdiri daripada pegawai atau jawatankuasa masjid, petugas dan ahli keluarga si mati.

Majlis Agama Islam dan Adat Melayu Terengganu tidak membenarkan jenazah pesakit Covid-19 disolatkan di mana-mana masjid dan surau di 15 mukim di daerah Besut yang dikenakan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) mulai hari ini hingga 4 Jun depan.

“Solat jenazah di masjid dan surau adalah tidak dibenarkan,” kata Yang Dipertua Majlis Agama Islam dan Adat Melayu Terengganu, Datuk Osman Muda dalam kenyataan hari ini.

Katanya, pengurusan dan solat jenazah perlu dilaksanakan di rumah atau premis persendirian dengan hanya membabitkan kehadiran pegawai atau jawatankuasa masjid dan ahli keluarga terdekat si mati dengan tidak melebihi 20 individu.

“Pengurusan pengebumian jenazah di tanah perkuburan dilaksanakan dengan kehadiran tidak melebihi 20 orang terdiri daripada pegawai atau jawatankuasa masjid, petugas dan ahli keluarga si mati,” katanya.

Pada masa sama beliau berkata aktiviti ibadat di masjid dan surau di 15 mukim berkenaan juga dihadkan dengan solat Jumaat tidak dibenarkan dan diganti dengan solat Zohor.

Osman berkata, solat fardu di masjid dan surau dibenarkan tetapi membabitkan lima jemaah yang terdiri daripada pegawai dan ahli jawatankuasa masjid dan surau.

“Aktiviti keagamaan dan kemasyarakatan lain tidak dibenarkan,” katanya.

Beliau juga berkata, mana-mana masjid atau surat yang dikenakan arahan penutupan mengikut Seksyen 18 (1)(d) Akta Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 1988, tidak dibenar melaksanakan apa-apa aktiviti sepanjang tempoh penutupan.

Katanya, semua arahan berkaitan telah mendapat perkenan Sultan Terengganu, Sultan Mizan Zainal Abidin.

Osman berkata, Sultan Mizan amat mengambil berat dan menzahirkan kebimbangan susulan peningkatan kes positif jangkitan harian Covid-19 di daerah Besut.

POPULAR