
Projek LCS merupakan perolehan pertahanan terbesar dalam sejarah Malaysia, berjumlah RM9 bilion, diberikan ketika negara ditadbir UMNO dan Barisan Nasional (BN), sejak 2011 tetapi hingga kini sebuah pun kapal itu belum siap.
Tan Sri Ahmad Ramli Mohd Nor dan Anuar Murad adalah dua tokoh penting yang dinamakan secara meluas dalam laporan audit forensik yang dinyahklasifikasikan oleh Boustead Heavy Industries Corporation Berhad (BHIC) mengenai projek kapal tempur pesisir pantai (LCS).
Laporan BHIC berkata mereka adalah pihak yang mengeluarkan surat anugerah (LOA) dan pesanan variasi (VO) tanpa mendapat pandangan daripada pasukan teknikal dan komersial, mahupun Jawatankuasa Pemandu LCS (LCSSC).
Laporan Jawatankuasa Kira-kira Wang Negara (PAC) yang dikeluarkan pada 4 Ogos mengenai projek berbilion ringgit itu juga berulang kali menyebut Ahmad Ramli, Pengarah Urusan Boustead Naval Shipyard Sdn Bhd (BNS) pada masa itu, dan Anuar, pengarah program LCS.
Akibatnya, keputusan berkaitan perolehan itu dibuat tanpa sebarang perbincangan, mesyuarat atau pertanyaan, yang mempunyai kaitan yang signifikan terhadap kos keseluruhan projek, kata laporan BHIC.
Laporan itu menyebut bahawa pengarah program LCS ketika itu, Anuar, mengambil kesempatan daripada situasi berkenaan dengan sokongan atasannya, Ramli, “dengan membuat keputusan sewenang-wenangnya, mengabaikan norma tadbir urus semasa mengeluarkan pelbagai LOA dan VO”.
Bekas ahli pasukan teknikal dan komersial berkata mereka tidak terlibat dalam menilai LOA yang dikeluarkan kepada subkontraktor projek Contraves Advanced Devices Sdn Bhd (CAD) dan Contraves Electrodynamics Sdn Bhd (CED) untuk komponen utama projek LCS.
“Akibatnya, harga yang dikenakan oleh CAD/CED tidak pernah ditentusahkan untuk menilai kuantum margin yang dibuat,” kata laporan BHIC.
Bekas Pengerusi BHIC Tan Sri Ramlan Mohamed Ali berkata Anuar juga telah menentukan komposisi pasukan penilai.
“Pada pendapat kami, ini mengurangkan kebebasan sambil menilai pelbagai cadangan,” kata laporan itu.
Menurut laporan itu, Anuar juga akan memaklumkan kepada LCSSC tentang pelbagai keputusan penting hanya selepas dia dan Ramli sudah membuat keputusan ini.
Sekurang-kurangnya 10 LOA yang memihak kepada CAD/CED tidak dikemukakan kepada LCSSC untuk kelulusan.
“Ini mungkin kerana lembaga pengarah BNS telah menyerahkan kuasa menyeluruh kepada Ramli untuk merundingkan syarat dan melaksanakan pelbagai kontrak dengan CAD tanpa mendapat kelulusan daripada lembaga sebelum menandatangani LOA/VO,” kata laporan itu.
Ramlan berkata, di sebalik kemajuan program LCS, kekerapan mesyuarat LCSSC semakin berkurangan sejak beberapa tahun lalu.
Jawatankuasa itu tidak melaksanakan tanggungjawabnya dengan menganalisis dan membincangkan secara terperinci pelbagai komponen projek ketika semakan minit LCSSC, kata laporan itu.
Jawatankuasa ini hanya dimaklumkan mengenai pelbagai perkara mengenai LOA oleh Anuar.
Difahamkan kedua-dua individu itu adalah pengarah CAD, manakala Anuar adalah pengarah CED pada masa menandatangani LOA.
“Ini bertentangan dengan tadbir urus asas kerana terdapat konflik kepentingan yang jelas.
“Adalah luar biasa untuk diperhatikan bahawa pelbagai LOA dan VO kepada CAD/CED telah dikeluarkan dengan tandatangan Ramli dan Anuar, yang meluluskan perihal kerja, kemajuan kerja, dan permintaan pembayaran.
“Pelbagai fasa perolehan melalui CAD mengesahkan hanya Ramli dan Anuar merupakan pegawai terbabit.
“Akibatnya, kedua-duanya mempunyai kawalan sepenuhnya ke atas kebanyakan fasa kitaran perolehan, tanda utama kekurangan tadbir urus dan cara operasi autokratik,” kata laporan itu.
Skandal LCS tercetus susulan pendedahan PAC pada 4 Ogos lalu, dua tahun selepas memulakan siasatan terhadap kontrak bernilai RM9.13 bilion.
PAC – badan dwipartisan di Parlimen – berkata projek membina enam kapal itu telah dianugerahkan oleh Kementerian Pertahanan kepada Boustead Naval Shipyard Sdn Bhd (BNS) melalui rundingan terus, dan kerajaan telah membayar RM6.08 bilion atau 66.65 peratus daripada kos setakat ini.
Bagaimanapun, tiada satu pun kapal LCS telah dihantar. Mengikut garis masa PAC, lima kapal LCS sepatutnya telah siap dan diserahkan kepada kerajaan menjelang Ogos 2022.
Susulan itu, kerajaan bertindak menyahklasifikasi dokumen berhubung perolehan LCS dan terbukti terdapat nama pemimpin-pemimpin UMNO yang terlibat secara langsung dalam mengatur projek kapal itu.
Zahid yang juga Presiden UMNO didedahkan dalam dokumen itu menandatangani dalam satu surat yang menyokong perolehan itu diberikan kepada kontraktor pilihannya walaupun pada awalnya menafikan terlibat dalam meluluskan projek tersebut.
Untuk rekod, pemberian kontrak pembekalan enam kapal LCS itu diberikan ketika Barisan Nasional dan UMNO memerintah iaitu bermula dengan surat anugerah pada 2011 disusuli penyerahan kontrak kepada Boustead Naval Shipyard Sdn Bhd (BNS) pada 2014.