Skandal LCS: Jangan salahkan orang lain kata Kit Siang kepada Najib

August 13, 2022 · Isu semasa

Ahli Parlimen veteran Lim Kit Siang hari ini dengan tegas menuntut Datuk Seri Najib Razak menerima tanggungjawab berhubung skandal kapal tempur pesisir pantai (LCS) Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) dan bukannya cuba meletakkan kesalahan kepada orang lain.

Ahli Parlimen Iskandar Puteri itu berkata Tun Dr Mahathir Mohamad dan pentadbiran Pakatan Harapan (PH) tidak boleh terlibat dalam skandal kapal itu memandangkan konsep, rundingan dan menandatangani kontrak LCS semuanya berlaku ketika Najib menjadi Perdana Menteri (PM).

“Najib telah cuba mengaitkan Mahathir dengan Boustead Naval Shipyard Sdn Bhd (BNS) yang terpaksa menggunakan sebahagian daripada pembiayaan LCS untuk membayar hutang lapuk NGPV,” katanya merujuk kepada projek Kapal Peronda Generasi Baharu (NGPV), yang telah dibuat pada 1990, ketika Najib menjadi Menteri Pertahanan.

Katanya selepas TLDM mula merancang untuk memperoleh 27 kapal baharu pada 1990, dan menerima kelulusan secara prinsip daripada kerajaan pada 1993, cadangan pembinaan dan perolehan NGPV itu dimasukkan dalam perjanjian penswastaan Naval Dockyard Sdn Bhd (NDSB) antara kerajaan dan Penang Shipbuilding and Construction Sdn Bhd (PSC) untuk membentuk sebuah konsortium bernama PSC-NDSB.

Kit Siang berkata apabila projek itu gagal, Boustead Holdings Berhad mengambil alih daripada PSC-NDSB pada 2005 dan menamakannya BNS pada tahun berikutnya.

Bekas Menteri Pertahanan, Mohamad Sabu, dan bekas Timbalannya, Liew Chiw Tong, bertanya satu soalan yang amat penting dalam kenyataan bersama mereka semalam: sama ada Perdana Menteri keenam, Najib Abdul Razak, telah merancang dari awal untuk menggunakan projek Kapal Tempur Pesisir (LCS) untuk membayar hutang lapuk dari projek kapal ronda generasi baharu (NGPV).

“Bekas Menteri Pertahanan, Mohamad Sabu, dan bekas timbalannya, Liew Chiw Tong, telah menegaskan bahawa Najib tidak boleh menafikan tanggungjawab terhadap skandal projek NGPV TLDM.

“Najib terlibat secara mendalam dengan projek NGPV ini, menjadi Menteri Pertahanan dari tahun 1990 sehingga 1995 dan juga dari tahun 2000 sehingga 2008,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Kit Siang kemudian mempersoalkan sebanyak manakah tanggungjawab Najib dalam skandal NGPV dan LCS, dan sebaliknya harus tampil bersih dan menghadapi akibat daripada tindakannya yang didakwa.

“Najib sepatutnya bertanggungjawab ke atas kedua-dua skandal NGPV dan LCS ini, sebaliknya dia sedang mencuba untuk mengalihkan perhatian dari dirinya dengan menuding jari ke masa lepas dan ke masa hadapan – menyalahkan Perdana Menteri keempat yang meletakkan jawatannya pada tahun 2003 dan juga kerajaan PH selama 22 bulan dari Mei 2018 hingga Februari 2020.

Pada 10 Ogos, Najib menuduh Kementerian Pertahanan semasa pentadbiran PH kononnya “membekukan” projek LCS selama 15 bulan sejak September 2019 untuk siasatan.

Mohamad Sabu dan Liew menjawab dan berkata dakwaan Najib itu adalah “pembohongan” kerana projek itu tidak diteruskan disebabkan hutang BNS.

Keesokan harinya, Najib menegaskan bahawa BNS terpaksa menyelamatkan pembinaan 27 NGPV dengan membeli pegangan majoriti dalam syarikat PSC-NDSB pada 2005 untuk menyelamatkan projek “kapal karam” yang diluluskan pada zaman Dr Mahathir sebagai PM.

Kit Siang juga sebelum ini menyatakan kebimbangannya berhubung “tangan tersembunyi” di sebalik kelewatan pembinaan aset tentera dan menyalahkan Najib yang menjadi PM ketika itu.

“Sekarang saya faham mengapa Najib begitu aktif di Facebooknya pada minggu lalu untuk mempertahankan skandal LCS RM9 bilion dan malah menyalahkan PH atas skandal itu,” kata Kit Siang baru-baru ini.

Skandal LCS menarik perhatian ramai apabila pada 4 Ogos lalu, Jawatankuasa Kira-Kira Wang Negara (PAC) mendedahkan beberapa kelemahan dan kelewatan projek itu, walaupun kerajaan telah membayar sehingga RM6 bilion daripada keseluruhan kos pembinaan sebanyak lebih RM9 bilion.

PAC – badan dwipartisan di Parlimen – berkata projek membina enam kapal itu telah dianugerahkan oleh Kementerian Pertahanan kepada BNS melalui rundingan terus, dan kerajaan telah membayar RM6.08 bilion atau 66.65 peratus daripada kos setakat ini.

Bagaimanapun, tiada satu pun kapal LCS telah dihantar. Mengikut garis masa kami, lima kapal LCS sepatutnya telah siap dan diserahkan kepada kerajaan menjelang Ogos 2022.

Untuk rekod, pemberian kontrak pembekalan enam kapal LCS itu diberikan ketika Barisan Nasional (BN)/UMNO memerintah iaitu bermula dengan surat anugerah pada 2011 disusuli penyerahan kontrak kepada BNS pada 2014.

Ketika itu, Najib menjadi PM, manakala Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi sebagai Menteri Pertahanan mulai 2009 hingga 2013, sebelum digantikan Datuk Seri Hishammuddin Hussin.

Berita berkaitan
Hentikan kes rasuah Zahid, badan kehakiman cipta rekod dunia: Dr Mahathir
16 jam lalu· Politik
Ulas al-Quran: MP DAP kata bukan buat kajian sendiri, ada bertalaqqi dengan ustaz
16 jam lalu· Politik
Jangan gopoh, kata Mat Sabu ulas gesaan halang warga asing beli beras
22 jam lalu· Isu semasa
Seorang pemimpin Melayu DAP kata tak salah Howard Lee petik ayat al-Quran
September 25, 2023· Politik
Popular
Hassan pertahan pendedahan bekalan barang terputus kerana ia adalah fakta
September 26, 2023
Jangan gopoh, kata Mat Sabu ulas gesaan halang warga asing beli beras
September 26, 2023
Kumpulan peguam persoal PH dan PMX membisu hukuman penjara Wan Ji
September 26, 2023
Perbicaraan Ebit Liew: Saksi beritahu pemacu pena ada bahan berunsur lucah
September 26, 2023
Lagi Isu semasa terkini
Hassan pertahan pendedahan bekalan barang terputus kerana ia adalah fakta
15 jam lalu · Isu semasa
Bunuh teman wanita: Bekas pemandu bas terlepas hukuman gantung, dipenjara 40 tahun
16 jam lalu · Isu semasa
Perbicaraan Ebit Liew: Saksi beritahu pemacu pena ada bahan berunsur lucah
16 jam lalu · Isu semasa
Permohonan lelaki bunuh kekasih hamil dirujuk psikiatri ditolak mahkamah
22 jam lalu · Isu semasa
Kedah dan Perlis dilanda banjir, PPS dibuka pindahkan mangsa
September 26, 2023 · Isu semasa
Video / Foto
[VIDEO] Rakyat jangan emosi warga asing beli barangan subsidi, isu sengaja diperbesarkan
15 jam lalu
[VIDEO] Saya bukan saintis, boleh belajar proses REE dari Lynas, kata menteri
19 jam lalu

Agenda Daily

Berita tepat dan menyeluruh.

Umum

Tentang kami

Hubungi kami

Penafian

Sosial media

Facebook

Twitter

Youtube

Instagram

TikTok