Skandal LCS: “Duit BNS sudah habis, esok pun company boleh lingkup”

August 13, 2022 · Isu semasa

Boustead Naval Shipyard Sdn Bhd (BNS) telah membelanjakan semua RM6 bilion yang diberikan kerajaan untuk pembinaan enam kapal tempur pesisir pantai (LCS), kata Pengerusi Jawatankuasa Kira-Kira Wang Negara (PAC) Wong Kah Woh.

Menurutnya perkara itu diberitahu oleh Ketua Pegawai Eksekutif Boustead Heavy Industries Corp Bhd (BHIC) Sharifuddin Md Zaini, ketika dipanggil memberi keterangan pada prosiding di hadapan PAC sebelum ini.

“Dalam mesyuarat sebelum ini, kami dimaklumkan bahawa kedudukan kewangan BNS berada dalam keadaan yang buruk kerana salah tadbir urus dalam syarikat ini.

“Ahli PAC, YB Wong Shu Qi bertanya sama ada semua RM6 billion telah dibelanjakan oleh BNS.

“Ketua Pegawai Eksekutif BHIC, Sharifuddin mengakui “memang duit kita sudah habis… company memang tidak ada duit dan memang akan lingkup pun besok silap-silap”,” kata Wong memetik laporan mesyuarat itu.

Dalam satu kenyataan, Wong mendedahkan bahawa gaji pekerja bagi pelaksanaan projek pembinaan LCS itu juga telah dipotong sejak Oktober 2020, manakala caruman Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) tidak dibayar sejak Mei 2021.

“BNS memang bergantung kepada kerja kecil-kecilan seperti kerja pembaikan untuk TLDM untuk terus bertahan. (Hal 49 Hansard),” kata Wong yang juga Ahli Parlimen Ipoh Timor.

Memetik halaman 52 Hansard Parlimen, Wong menjelaskan Sharifuddin telah memberitahu PAC bahawa jika BNS sudah tidak ada, BHIC dan Lembaga Tabung Angkatan Tentera (LTAT) akan terkesan dengan teruk.

Sektor Perladangan, Pharmaniaga, Boustead Properties dan Boustead Hotels semua akan terkesan. Perkara ini berkemungkinan menyebabkan LTAT untuk kehilangan sehingga 46 peratus saiz dananya. (Hal 52 Hansard)

“Perkara ini amatlah menyedihkan dan mengecewakan. Perkara pertama yang terlintas dalam fikiran saya adalah, bagaimana sebuah syarikat yang mendapat kontrak yang bernilai RM9 billion dari Kerajaan jadi sampai tahap sebegini?,” kata Wong.

Isu kapal tempur itu menarik perhatian umum apabila PAC pada 4 Ogos lalu mendedahkan beberapa kelemahan dan kelewatan projek itu, walaupun kerajaan telah membayar sehingga RM6 bilion daripada keseluruhan kos pembinaan sebanyak lebih RM9 bilion.

PAC – badan dwipartisan di Parlimen – berkata projek membina enam kapal itu telah dianugerahkan oleh Kementerian Pertahanan kepada BNS melalui rundingan terus, dan kerajaan telah membayar RM6.08 bilion atau 66.65 peratus daripada kos setakat ini.

Bagaimanapun, tiada satu pun kapal LCS telah dihantar. Mengikut garis masa kami, lima kapal LCS sepatutnya telah siap dan diserahkan kepada kerajaan menjelang Ogos 2022.

Untuk rekod, pemberian kontrak pembekalan enam kapal LCS itu diberikan ketika Barisan Nasional (BN)/UMNO memerintah iaitu bermula dengan surat anugerah pada 2011 disusuli penyerahan kontrak kepada Boustead Naval Shipyard Sdn Bhd (BNS) pada 2014.

Ketika itu, Datuk Seri Najib Razak menjadi Perdana Menteri, manakala Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi sebagai Menteri Pertahanan mulai 2009 hingga 2013, sebelum digantikan Datuk Seri Hishammuddin Hussin.

10 Ogos lalu, Ketua Eksekutif Lembaga Tabung Angkatan Tentera (LTAT) Datuk Ahmad Nazim Abdul Rahman menjelaskan bayaran RM6 bilion yang dibuat kerajaan kepada kontraktor projek LCS, bertujuan membeli peralatan membina enam kapal berkenaan.

Beliau berkata ini kerana pembelian secara pukal untuk peralatan enam kapal itu akan jauh lebih murah.

“RM6 bilion dari nilai kontrak RM9 bilion sudah dibayar. Kenapa bayar sampai RM6 bilion, tapi progres pembinaan untuk lima kapal pertama hanya pada purata 55 peratus?

“Sebab RM6 bilion dibelanjakan untuk beli hampir kesemua peralatan yang perlu untuk bina enam kapal. Bulk order (pesanan pukal) lebih murah berbanding beli satu-satu,” kata Ahmad Nazim.

Bagaimanapun, pada hari sama, bekas Menteri Pertahanan Mohamad Sabu dan bekas timbalannya Liew Chin Tong mendakwa sejumlah RM745 juta telah digunakan untuk “bail out” projek lama yang melibatkan pembekalan Kapal Peronda Generasi Baharu (NGPV).

Kedua-duanya menyenaraikan RM745 juta daripada RM6.08 bilion itu, dengan RM255 juta untuk menyelesaikan hutang lama NGPV dan RM141 juta untuk faedah ke atas hutang tersebut, manakala RM349 juta untuk “peningkatan kos reka bentuk”.

Mereka mendesak Menteri Kanan Keselamatan Datuk Seri Hishammuddin Hussin untuk sama ada bersetuju atau tidak bahawa dana projek LCS boleh digunakan untuk membayar hutang projek NGPV, sambil turut bertanya sama ada projek LCS dimulakan dengan niat untuk “rolling” hutang lama projek NGPV.

Atrikel berkaitan: Kapal tempur LCS: Penemuan amat menyedihkan, TV tak lagi pintar 

Berita berkaitan
Kerajaan perlu dedah semua laporan dalam skandal projek LCS, gesa C4
9 jam lalu· Isu semasa
Kita tiada pilihan dan kita tidak boleh tutup, kata PMX ulas isu kapal LCS
May 27, 2023· Isu semasa
BNS sambung semula projek LCS selepas kerajaan tandatangan perjanjian baharu
May 27, 2023· Isu semasa
PAC syor adakan prosiding baharu membabitkan LCS
May 19, 2023· Isu semasa
Popular
Isu air: PMX sahkan permohonan awal RM8 bilion oleh kerajaan Kelantan ditolak
June 1, 2023
Tiada nama taikun Melayu dalam senarai individu terkaya Forbes di Malaysia
June 1, 2023
Anwar nafi jadi punca kejatuhan nilai ringgit
June 1, 2023
Ringgit jatuh, MP Bachok kata kerana tiada Menteri Kewangan sepenuh masa
June 1, 2023
Lagi Isu semasa terkini
Ringgit jatuh, MP Bachok kata kerana tiada Menteri Kewangan sepenuh masa
10 jam lalu · Isu semasa
Isu air: PMX sahkan permohonan awal RM8 bilion oleh kerajaan Kelantan ditolak
10 jam lalu · Isu semasa
Anwar nafi jadi punca kejatuhan nilai ringgit
10 jam lalu · Isu semasa
Tiada nama taikun Melayu dalam senarai individu terkaya Forbes di Malaysia
13 jam lalu · Isu semasa
Teman lelaki bunuh dan bakar kekasih hamil didakwa hari ini
17 jam lalu · Isu semasa
Video / Foto
[VIDEO] Perikatan Nasional tak serang peribadi saya macam PH-UMNO
6 jam lalu
[VIDEO] Khairy akan bertemu Muhyiddin dalam masa terdekat
7 jam lalu

Agenda Daily

Berita tepat dan menyeluruh.

Umum

Tentang kami

Hubungi kami

Penafian

Sosial media

Facebook

Twitter

Youtube

Instagram

TikTok