Situasi semasa Covid-19 penentu langkah ke Fasa Kedua PPN: PM

Petugas akan menyemak jadual temu janji dan identiti pengunjung sebelum diproses untuk suntikan vaksin. – Gambar Agenda Daily

Situasi sebenar Covid-19 dalam negara serta kaedah intervensi serta beberapa faktor lain perlu dikaji terlebih dahulu sebelum negara beralih ke Fasa Kedua Pelan Pemulihan Negara (PPN).

Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata walaupun kerajaan telah menentukan sasaran seperti tarikh, tempoh, kadar dan jumlah kes serta proses vaksinasi serta kapasiti penggunaan katil di unit rawatan rapi (ICU), situasi sebenar sentiasa berubah.

“Dia (Pelan Pemulihan Negara) ada kita panggil nilai ambang atau threshold… tetapi kita kena faham keadaan berubah-ubah, sebab itu, kita boleh buat sedikit pelarasan.

“Ini nanti akan diputuskan pada sidang Majlis Keselamatan Negara (MKN) yang saya pengerusikan untuk nilai keadaan,” kata di Bukit Gambir, Johor, hari ini.

Memetik laporan Bernama beliau bagaimanapun berkata kerajaan sentiasa memantau perkembangan semasa menerusi Kementerian Kesihatan dan seluruh sistem yang ada, bagi memastikan kaedah intervensi yang boleh dilakukan.

“Misal kata data itu masih tinggi sedikit, kita nak turunkan bawah 4,000 kes. Hari ni 4,743 kes, jadi tak jauh dari sasaran.

“Apapun kita nak tengok apa intervensi yang pihak KKM dan semua sistem ada (untuk mengawal), nak tengok keadaan itu tetapi itu sahaja tidak mencukupi tanpa penglibatan masyarakat untuk patuh kepada prosedur operasi standard (SOP)… untuk pastikan mereka ikut, bukan sahaja anggota masyarakat tetapi juga kilang serta ahli komuniti dan sebagainya,” katanya.

Perdana Menteri yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri Gambir menekankan mengenai pentingnya proses vaksinasi dipercepatkan agar keadaan lebih terkawal dan proses penurunan kes positif akan lebih cepat lagi.

“Kita ada beberapa hari lagi sahaja (sebelum 28 Jun). Ya, kalau sekiranya kadar (kes positif) tu boleh turun lagi… bermakna ikut jadual yang kita harapkan, maka kita akan beralih ke fasa kedua… itu keadaannya.

“Jadi disebabkan itu, kita takkan buat pengumuman sekarang. Biasanya kita akan bagi ruang dua tiga hari lagi, sama ada kita nak sambung atau kita akan beralih (ke fasa seterusnya),” kata beliau.

Muhyiddin berkata demikian ketika diminta mengulas mengenai rancangan kerajaan untuk beralih ke fasa seterusnya memandangkan tinggal enam hari lagi lanjutan tempoh fasa Perintah Kawalan Pergerakan 3.0 yang dijadualkan sehingga 28 Jun ini, dengan kadar kes masih di atas 4,000 kes.

Sebelum ini, Menteri Kesihatan Datuk Seri Dr Adham Baba berkata ,untuk negara beralih ke fasa kedua Pelan Pemulihan Negara, purata kes COVID-19 di Malaysia perlu berada di bawah 4,000 kes sehari selama tujuh hari berturut-turut.

Selain itu, beliau berkata kapasiti katil di ICU juga perlu mencapai paras 75 peratus ke bawah di samping 10 peratus populasi yang telah divaksin.

POPULAR