Siti Bainun ‘naik hantu’, Bella tarik langsir besi tercabut, kata saksi

Saksi pendakwaan kelima kes Siti Bainun Ahd Razali, memberitahu Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur hari ini, pengasas Rumah Bonda itu ‘naik hantu’ apabila remaja sindrom down dikenali sebagai Bella, tertarik langsir hingga besi tercabut.

Yasmin Nahar Mahmood, 18, seorang penghuni Rumah Bonda, memberitahu sejak kejadian itu Siti Bainun mula memarahi dan memukul Bella.

“Bella pernah masuk bilik kedua iaitu bilik yang menempatkan saya dan adik-adik (penghuni) lain. Bella tertarik langsir hingga besinya tercabut

“Selepas kejadian, Bainun jadi marah dan pukul Bella. Tarikh kejadian saya tak ingat,” katanya sambil memberitahu dia juga pernah diarah oleh Siti Bainun untuk membogelkan Bella sebelum diikat dengan tali dan dibarikan sebelum dicurah air panas.

“Saya diarahkan Siti Bainun untuk pastikan Bella tidak bergerak dan menyasarkan di bahagian tertentu sebelum dicurah air.

“Ada kesan parut di paha kanan, pergelangan kaki dan lutut Bella,” katanya menjawab soalan peguam Asiah Jalil yang mewakili Siti Bainun pada sesi pemeriksaan balas di hadapan Hakim Izralizam Sanusi.

Dalam prosiding kelmarin, Yasmin dalam keterangannya berkata, Siti Bainun mendera Bella setiap hari selama hampir empat bulan yang berlaku pada setiap malam sejak Mac 2021 hingga 24 Jun 2021.

Siti Bainun, 30, mengaku tidak bersalah atas dua pertuduhan iaitu mengabai dan menganiaya remaja perempuan itu sehingga menyebabkan mangsa mengalami kecederaan fizikal serta emosi.

Dia didakwa melakukan perbuatan di sebuah kondominium di Wangsa Maju, antara Februari dan Jun 2021.

Pertuduhan terhadapnya adalah mengikut Seksyen 31(1)(a) Akta Kanak-kanak 2001 yang membawa hukuman maksimum penjara 20 tahun atau denda RM50,000 atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan

Sementara itu, Yasmin bersetuju dengan cadangan Asiah bahawa Bella dicurah air panas tiga kali sehari dengan menggunakan picagari dan cawan.

“Saya ambil air panas itu daripada alat penapis air. Air itu ada keluar wap dan pernah tertumpah,” katanya.

BERITA BERKAIT
POPULAR