
Rosnazirah Mohd Naim, 36 tahun, yang diculik di rumahnya di Tumpat, Kelatan diselamatkan di Thailand, kini dalam pemantauan polis di Kuala Lumpur. - Gambar media sosial
Perselisihan di antara ahli sindiket dadah dipercayai punca utama seorang wanita yang juga ejen jualan kosmetik dilarikan sekumpulan lelaki dari kediamannya di Kampung Semat Jal, di Tumpat, petang kelmarin.
Pemangku Ketua Polis Kelantan Datuk Muhamad Zaki Harun berkata siasatan awal pihaknya mendapati suami Rosnazirah Mohd Naim terbabit dalam aktiviti sindiket dadah.
Susulan itu katanya, polis sudah menahan tiga individu termasuk suami mangsa dan seorang wanita berusia 35 hingga 47 tahun semalam bagi membantu siasatan.
“Kita sudah memohon bantuan daripada pihak berkuasa Thailand bagi menyelamatkan mangsa berusia 36 tahun dan usaha ke arah itu giat dilakukan.
“Polis juga percaya mangsa mengetahui aktiviti dilakukan suaminya selain mengenali suspek yang melarikannya kelmarin,” katanya pada sidang media di Kota Bharu, hari ini.
Semalam, Rosnazirah, 36, dilapor dilarikan sekumpulan lelaki tidak dikenali pada jam 4.10 petang dengan menaiki kereta jenis Toyota Vios yang datang ke rumahnya Kampung Semat Jal, Wakaf Bharu.
Bapanya yang melihat wanita itu diheret masuk ke dalam kereta cuba menyelamatkannya, namun seorang daripada lelaki itu didakwa turut mengacu sebilah pisau ‘Rambo’ menyebabkan bapa mangsa berundur dan hanya mampu melihat anaknya dilarikan.
Rosnazirah dikatakan dibawa ke arah Pengkalan Kubor, iaitu kawasan sempadan negara.
Ada penduduk setempat mendakwa nampak seorang wanita dibawa sekumpulan lelaki menaiki bot menuju negara jiran, manakala Toyota Vios dinaiki mereka turut ditemukan di sebuah pangkalan haram di situ.
Terdahulu tular rakaman video dari kamera litar tertutup (CCTV) dari kediaman mangsa yang berdurasi 2 minit 51 saat memaparkan kejadian penculikan itu.