Simpanan KWSP meningkat tanda aras kesejahteraan hari tua

Kebenaran pengeluaran khas simpanan Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP), pasti melegakan segmen masyarakat yang masih terkesan dari segi ekonomi, kehilangan pendapatan dan sedang membina semula kehidupan.

Bagaimanapun, Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob ketika membuat pengumuman itu, turut merayu pencarum mengekalkan simpanan kecuali dalam keadaan benar-benar mendesak.

Hakikatnya, ia selari dengan realiti Malaysia memasuki kategori negara yang masyarakat semakin tua, iaitu warga emas melebihi tujuh peratus, sekali gus menyebabkan pengurusan ekonomi semakin kompleks.

Menurut Felo Kanan Social Welbeing Research Centre (SWRC), Universiti Malaya (UM), Oleh Dr Zulkiply Omar, jika dilihat dari aspek bebanan sosial, penuaan masyarakat meningkatkan perbelanjaan sosial kerajaan termasuk perbelanjaan kesihatan dan bantuan kewangan untuk mereka yang tidak mempunyai pendapatan persaraan mencukupi.

“Kita perlu mengambil iktibar negara membangun mempunyai masyarakat tua terpaksa berbelanja besar sebagai bantuan sosial untuk warga emas.

“Justeru, bagaimanakah strategi pembangunan ekonomi perlu dilaksanakan? Ringkasnya, galakkan pertumbuhan ekonomi berlandaskan produktiviti mengambil kira struktur demografi.

“Struktur pengeluaran ekonomi mesti selari struktur demografi. Teknologi pengeluaran perlu mengambil kira struktur buruh, lantas menggalakkan pertumbuhan produktiviti,” ujarnya.

Orang ramai perlu melihat simpanan dari dua perspektif, dari perspektif makro, ia penting untuk pertumbuhan ekonomi dengan menjana pelaburan dan bermakna ia perlu dikekalkan pada jumlah baik untuk menjamin pertumbuhan ekonomi mampan.

Dari perspektif mikro ekonomi, setiap individu menyimpan berlandaskan pendekatan kitaran hidup masing-masing.

Individu menyimpan sebahagian hasil pendapatan semasa zaman produktif untuk perbelanjaan hari tua ketika tidak lagi produktif. Tentu setiap individu mempunyai naluri berkelakuan sebegini dengan syarat mempunyai pendapatan lebihan daripada penggunaan perlu seperti makanan dan perumahan.

Namun, ramai tidak mempunyai disiplin dan kekuatan untuk melaksanakannya. Kebanyakan memerlukan sokongan institusi.

Kedua-dua perspektif, makro dan mikro, saling mengukuhkan. Simpanan adalah baik untuk individu dan ekonomi keseluruhan. Terdapat bukti empirikal mengenai kepentingan simpanan terhadap pertumbuhan dan kemajuan ekonomi.

“Kemajuan ekonomi merujuk kepada kesejahteraan sosial dan pertumbuhan ekonomi. Sekali lagi mengambil iktibar negara membangun, Malaysia perlu ada dasar keselamatan sosial baik untuk mengoptimumkan kesejahteraan sosial, terutama keselamatan pendapatan.

“Dasar keselamatan sosial komprehensif mempunyai elemen insurans dan bantuan. Insurans terletak di tangan individu, iaitu setiap orang menguruskan risiko pendapatan bersesuaian konsep simpanan untuk hari tua dari segi keselamatan pendapatan. Elemen bantuan terpulang kepada pemerintah. Bantuan diberi kepada golongan tidak berkemampuan untuk menguruskan risiko kehilangan pendapatan,” katanya.

Ringkasnya, jika dirujuk kepada pendapatan hari tua, ia pendapatan persaraan atau pencen. Individu mampu akan menyediakan pencen dengan menyimpan sebahagian pendapatan semasa alam pekerjaan. Golongan tidak mampu perlu dilindungi bantuan sosial seperti melalui kaedah pencen universal dibiayai sepenuhnya dana awam.

Dasar keselamatan pendapatan perlu mengimbangi antara elemen insurans dengan bantuan. Pembangunan institusi untuk menggalakkan individu menabung untuk hari tua perlu diberi keutamaan, iaitu melalui penyediaan platform sesuai untuk individu menabung mengikut pendapatan sendiri.

Kaedah popular melalui sistem potongan gaji bulanan pada kadar sesuai atau pelan pay as you go (PAYG). Ia menggalakkan produktiviti, iaitu sumber pertumbuhan ekonomi penting seperti dijelaskan.

Badan seperti KWSP berjaya menggembleng simpanan untuk pendapatan hari tua menggunakan PAYG, sekali gus menyokong kedua-dua perspektif pembangunan makroekonomi dan simpanan hari tua pencarum. Namun, ia perlu diperkukuhkan lagi dari segi liputan, iaitu membabitkan lebih ramai ahli termasuk golongan sektor informal. Penambahbaikan perlu dari segi penekanan pencapaian objektif ahli yang mesti mencukupi untuk kegunaan hingga akhir hayat.

Justeru, tanpa menafikan keperluan terdesak semasa lebih utama daripada simpanan hari tua, pencarum perlu membuat pertimbangan sewajarnya sebelum melakukan pengeluaran khas seperti dibenarkan kerajaan. Ini juga untuk mengekalkan kepentingan disiplin institusi dipupuk sekian lama. Pengorbanan disiplin mungkin akan memberi kesan lebih besar pada masa hadapan.

“Pada masa hadapan, desakan ketika ahli berhasrat membuat pengeluaran untuk kelangsungan hidup perlu diselesaikan dengan kaedah lain, iaitu elemen bantuan sosial.

“Golongan ini perlu diberi bantuan daripada alternatif bersesuaian seperti penggunaan dana awam yang mungkin boleh dijustifikasikan dengan penyaluran terus hasil cukai makmur,” katanya

Perlu diingat, inilah contoh kepentingan peningkatan produktiviti menjana pertumbuhan ekonomi. Peningkatan produktiviti menjamin pencapaian dividen demografi kedua maksimum. Seterusnya memberi ruang lebih luas untuk kerajaan melaksanakan bantuan sosial sebagai jaminan pendapatan rakyat.

BERITA BERKAIT
POPULAR