
Kementerian Kesihatan menafikan sijil digital dalam MySejahtera akan dihilangkan mulai 1 April 2022 jika tidak mengambil dos penggalak.
Kementerian Kesihatan (KKM) menafikan mesej tular yang mendakwa sijil digital suntikan Covid-19 akan dihilangkan dari aplikasi MySejahtera jika tidak mengambil dos penggalak.
KKM dalam satu kenyataan hari ini berkata mesej yang ditularkan itu adalah palsu.
“Untuk makluman, status vaksinasi COVID-19 kepada semua penerima vaksin Sinovac berusia 18 tahun dan ke atas yang masih belum menerima dos penggalak setelah layak; dan
“Penerima semua jenis vaksin dos primer berusia 60 tahun dan ke atas yang masih belum mendapatkan dos penggalak setelah layak, hanya akan bertukar menjadi tidak lengkap dan bukan dihilangkan seperti yang dinyatakan dalam mesej tersebut,” kata kenyataan itu.
Mesej tular itu mendakwa mulai minggu depan kerajaan akan menghilangkan sijil digital dua juta individu yang sudah divaksin namun belum menerima dos penggalak.
“Sila tangkap layar sijil digital dan maklumat mengenai dos penggalak di aplikasi MySejahtera anda sekarang dan simpan,” dakwa mesej tular itu.
Terdahulu pada pada 24 Mac lalu, Menteri Kesihatan Khairy Jamaluddin berkata kira-kira dua juta rakyat Malaysia dijangka kehilangan status lengkap vaksinasi di aplikasi MySejahtera mulai 1 April jika tidak mengambil dos penggalak.
Angka unjuran ini melibatkan penerima Sinovac berumur 18 tahun ke atas dan warga emas 60 tahun ke atas yang gagal mendapatkan suntikan dos penggalak sebelum akhir bulan ini.