Sidang Parlimen sebelum 1 Ogos: PM

Parlimen Malaysia

Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin mengarahkan sidang Dewan Rakyat diadakan secepat mungkin iaitu sebelum 1 Ogos depan.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Parlimen dan Undang-Undang) Datuk Seri Takiyuddin Hassan berkata, Kerajaan Persekutuan sentiasa menjunjung cadangan Yang di-Pertuan Agong berhubung sidang Dewan Rakyat.

Dalam kenyataan hari ini beliau berkata:

“Kerajaan Persekutuan sentiasa menjunjung titah pandangan KDYMM Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong dalam semua hal berkaitan pemerintahan negara termasuklah berhubung dengan persidangan Parlimen.

“Sehubungan dengan itu YAB Perdana Menteri selaku Ketua Majlis Parlimen telah memutuskan akan memanggil sidang Parlimen Malaysia secepat mungkin sebelum 1 Ogos 2021.

“Perkara ini akan dimuktamadkan dalam mesyuarat Jemaah Menteri pada 7 Julai 2021,” katanya.

Terdahulu, Ahli Parlimen blok pembangkang mengugut untuk berkumpul ‘menunjuk perasaan’ di Parlimen pada 19 Julai ini dalam usaha mereka menuntut sidang Dewan Rakyat disegerakan.

Dalam satu kenyataan dikeluarkan Majlis Presiden Pakatan Harapan (PH) hari ini, mereka mendakwa sidang Parlimen perlu diadakan sebelum 1 Ogos ini bagi membahaskan krisis pandemik Covid-19 serta Proklamasi Darurat, Ordinan-Ordinan Darurat dan Pelan Pemulihan Negara (PPN).

POPULAR