Sidang Parlimen maya kena uji dahulu sistem hibrid

Parlimen bukan tempat yang selamat daripada pandemik Covid-19 sekarang ini.

Dewan Rakyat dicadangkan supaya menguji terlebih dahulu kebolehgunaan sistem hibrid yang hendak digunakan sebelum sidang Parlimen secara maya dilaksanakan.

Ketua Penyelidik Pengujian Kebolehgunaan Pendidikan, Pusat Kecemerlangan Industri Kreatif, Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI), Prof Madya Dr Shamsul Arrieya Ariffin berkata pengujinya sudah pasti ahli Parlimen itu sendiri sebagai pengguna utama sistem hibrid berkenaan.

“Sewajarnya Parlimen hibrid yang hendak diguna pakai perlu diuji terlebih dahulu akan kebolehgunaannya. Berfokuskan reka bentuk Parlimen hibrid, segala cabaran bakal dihadapi, akan dikenal pasti terlebih dahulu, sebelum diatasi,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Katanya perbincangan hibrid perlu menggunakan platform komunikasi video, namun sesetengahnya mempunyai kelemahan dan kekuatan masing-masing, termasuk ada yang tidak membenarkan rakaman.

Beliau memberi contoh sidang Parlimen hibrid diadakan di United Kingdom (UK), Australia dan Kanada sejak tahun lalu di mana UK menggunakan platform Zoom untuk bersidang, sekali gus memberi peluang ahli Parlimen membahaskan isu termasuk isu kesihatan rakyat.

Bagaimanapun katanya, terdapat kesukaran kepada ahli Parlimen yang tidak tahu menggunakan aplikasi dalam talian dengan baik kerana literasi teknologi maklumat.

“Antara kesukaran sewaktu persidangan hibrid di negara itu, ada tidak tahu menekan butang untuk bercakap atau terlupa dan tidak menutup butang mikrofon hingga menyebabkan gangguan bunyi,” katanya.

Shamsul Arrieya berkata terdapat juga insiden sistem komputer mengalami auto-update hingga menyebabkan perbincangan terencat kerana komputer terpaksa dihidupkan semula untuk meneruskan sidang.

Sehubungan itu katanya tenaga kepakaran dan pekerja teknikal sokongan perlu diwujudkan bagi membantu sekiranya terdapat masalah dalam persidangan hibrid atau berlaku sebarang kecemasan.

“Begitu juga bagaimana proses membuat undian dalam dewan dapat dilaksanakan dengan lancar supaya keputusan dapat disahkan dan diputuskan ahli dewan secara maya,” katanya.

POPULAR