Sidang Parlimen akhir Ogos atau awal September: Rais, Azhar

Parlimen Malaysia.

Sidang Dewan Rakyat secara hibrid dijangka diadakan akhir Ogos atau selewat-lewatnya minggu pertama September selepas semua aspek perundangan, termasuk peruntukan dalam Perlembagaan Persekutuan diambil kira.

Yang Dipertua Dewan Negara, Tan Sri Dr Rais Yatim dan Yang Dipertua Dewan Rakyat, Datuk Azhar Azizan Harun dalam kenyataan bersama hari ini berkata, tarikh sidang bagaimanapun tertakluk kepada kelulusan semua aspek perundangan pada peringkat Jawatankuasa Dewan dan Jawatankuasa Peraturan-Peraturan Mesyuarat dijangka akhir Julai depan.

“Menjunjung titah KDYMM YDPA untuk diadakan persidangan secepat mungkin dan mengambil maklum komitmen dan kuasa YAB Perdana Menteri selaku Ketua Majlis untuk menetapkan tarikh persidangan, Jawatankuasa Khas memberi komitmen untuk melakukan segala yang terdaya supaya kemudahan persidangan hibrid ini dapat disediakan seberapa segera yang mungkin,” kata mereka.

Sehubungan itu mereka mencadangkan satu Sidang Khas Parlimen diadakan pada awal Ogos bagi memperincikan pelbagai urusan, tetapi tertakluk kepada prosedur operasi standard (SOP) ketat yang dikuatkuasakan Majlis Keselamatan Negara (MKN) dan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM).

Mereka berkata, Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin telah memaklumkan mengenai persiapan persidangan dari aspek perundangan, pentadbiran, teknikal, perolehan dan bekalan, semalam.

“Sesi sidang khas ini penting untuk memastikan semua Ahli Parlimen mengambil bahagian dalam perincian mengenai hal-hal resolusi yang diperlukan untuk diterima pakai berkaitan perancangan mengadakan sidang Parlimen secara hibrid merangkumi beberapa pindaan ke atas Peraturan Mesyuarat, takrif-takrif persidangan maya, penyelarasan tanggungjawab Ahli Parlimen serta perkara-perkara teknikal yang berkaitan.

“Sekiranya cadangan ini diterima oleh kedua-dua Dewan, sedikit masa lagi diperlukan oleh Parlimen untuk memperoleh bekalan, mengintegrasikan sistem persidangan hibrid dengan sistem sedia ada, ujian, pentauliahan dan juga latihan kepada petugas dan Ahli-ahli Parlimen.

“Mengambil kira perkara-perkara ini dan tertakluk kepada keperluan di atas, dijangka persidangan Parlimen secara hibrid boleh diadakan sekitar akhir Ogos atau selewat-lewatnya minggu pertama September 2021,” kata kenyataan kedua-duanya.

15 Jun lalu, Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata sidang Parlimen boleh diadakan sekitar September atau Oktober dengan mengikut SOP yang ditetapkan.

Perdana Menteri ketika memberikan komitmen berhubung perkara itu berkata ia adalah pendirian beliau sejak daripada awal bahawa sistem demokrasi berparlimen boleh berfungsi semula pada masa yang sesuai apabila kes Covid-19 terkawal dan negara hampir mencapai imuniti kelompok.

Beliau turut menyuarakan tekad untuk terus mendukung prinsip demokrasi berparlimen dan raja berperlembagaan yang menjadi teras kedaulatan Malaysia.

“Saya akan terus mendukung prinsip demokrasi berparlimen dan raja berperlembagaan. Jangan ada pihak-pihak yang sengaja menimbulkan keresahan dan kecelaruan dalam kalangan rakyat sehingga mengganggu tugas utama kerajaan untuk menangani pandemik Covid-19,” katanya.

Pada 16 Jun pula, Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Mustafa Billah Shah, menzahirkan pandangan supaya persidangan Parlimen diadakan secepat mungkin.

Pandangan baginda itu dibuat selepas memperhalusi semua pandangan pemimpin parti politik, Jawatankuasa Khas Bebas Darurat 2021 dan sembah taklimat pakar dari pelbagai agensi kerajaan.

POPULAR