Sidang Dewan Rakyat bermula ketika UMNO desak PRU-15 segera pada musim banjir

October 3, 2022 · Isu semasa

Dewan Rakyat mula bersidang hari ini dengan kerajaan menerima tekanan daripada UMNO supaya membubarkan Palrimen bagi mengadakan pilihan raya umum ke-15 (PRU-15) dengan segera pada tahun ini juga.

Berkemungkinan sidang kali ini menjadi yang terakhir sebelum Parlimen dibubarkan dengan tumpuan pastinya terarah kepada pembentangan Bajet 2023 pada ketika negara sedang berdepan cabaran ekonomi ekoran kejatuhan ringgit dan kadar inflasi yang semakin meningkat.

Pembangkang Pakatan Harapan (PH) menerusi Ketuanya, Datuk Seri Anwar Ibrahim memberi isyarat akan menimbang untuk menolak Bajet 2023 sekiranya Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob tidak memberi jaminan PRU-15 tidak diadakan semasa musim tengkujuh tahun ini dan tunduk kepada tekanan Presidennya, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi.

Untuk rekod, semua parti politik sudah melakukan persediaan bagi menghadapi PRU-15 dengan pelbagai kempen dan ceramah raksasa seolah-olah menjangkakan Parlimen bakal dibubar pada masa terdekat.

Malah, spekulasi bertiup kuat berkemungkinan Parlimen akan dibubarkan pada 10 atau 12 Oktober selepas pembentangan Bajet 2023 pada 7 Oktober, malah kenyataan Ismail Sabri sebelum ini PRU-15 akan diadakan sedikit masa lagi menyebabkan semua parti politik terpaksa mengambil langkah awal bersiap-siaga menghadapi segala kemungkinan.

Pada hari pertama Dewan Rakyat, tumpuan ahli-ahli dewan tertumpu kepada langkah kerajaan untuk menangani menangani cabaran ekonomi dan kesiapsiagaan agensi kerajaan dalam menghadapi kemungkinan bencana banjir antara tumpuan utama pada hari pertama Mesyuarat Ketiga Penggal Kelima Parlimen ke-14.

Menurut Aturan Urusan Mesyuarat di laman sesawang Parlimen, persoalan mengenai cabaran ekonomi itu diajukan Datuk Seri Tajuddin Abdul Rahman (BN-Pasir Salak) kepada Perdana Menteri yang ingin tahu tindakan kerajaan menangani cabaran tersebut demi menjaga kebajikan serta kesejahteraan Keluarga Malaysia semasa sesi Pertanyaan bagi Jawab Lisan di Dewan Rakyat.

Anwar (PH-Port Dickson) pula meminta Perdana Menteri menyatakan perangkaan terkini butiran kategori pendapatan berkenaan isi rumah mengikut kategori B40, M40 dan T20 menurut pecahan tahun bermula 2019 sehingga 2022.

Turut tersenarai, soalan Datuk Rubiah Wang (GPS-Kota Samarahan) kepada Perdana Menteri mengenai status Jawatankuasa Pengurusan Bencana Daerah di seluruh negara bagi menghadapi kemungkinan bencana banjir pada hujung tahun ini.

Selain itu, Fong Kui Lun (PH-Bukit Bintang) meminta Menteri Wilayah Persekutuan menyatakan persiapan kementerian itu bagi menghadapi bencana banjir yang dijangka melanda Kuala Lumpur pada akhir tahun ini.

Persidangan kali ini bakal menyaksikan pembentangan Rang Undang-undang Pengangkutan Jalan (Pindaan) 2022, Rang Undang-undang Pengangkutan Awam Darat (Pindaan) 2022, Rang Undang-undang Lembaga Pelesenan Kenderaan Perdagangan (Pindaan) 2022 dan Rang Undang-undang Kualiti Alam Sekitar (Pindaan) 2022 untuk bacaan kali pertama.

Berdasarkan Aturan Urusan Mesyuarat, selain usul pemilihan Timbalan Yang Dipertua Dewan Rakyat, mesyuarat juga dijangka bakal tertumpu kepada pembentangan penyata Jawatankuasa Pilihan Khas Menimbang Rang Undang-undang berkaitan Rang Undang-undang Kawalan Produk Tembakau dan Merokok 2022.

Penyata yang mengandungi cadangan penambahbaikan kepada rang undang-undang tersebut dijangka dibentangkan di Dewan Rakyat tidak lewat daripada Khamis (6 Okt) sekiranya usul Menteri Kesihatan bagi melanjutkan tarikh pembentangan penyata itu dipersetujui.

Pada 2 Ogos lepas, Jawatankuasa Pilihan Khas Menimbang Rang Undang-undang yang dianggotai 13 Ahli Parlimen kerajaan dan pembangkang serta dipengerusikan Menteri Kesihatan Khairy Jamaluddin ditetapkan perlu membentangkan penyata itu tidak melebihi tarikh hari pertama persidangan Mesyuarat Ketiga Penggal Kelima Parlimen ke-14.

Fokus utama persidangan kali ini adalah kepada pembentangan Rang Undang-undang Perbekalan (Belanjawan) 2023, yang dijadual dibentangkan Menteri Kewangan Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz pada 4 petang, Jumaat ini.

Rang undang-undang itu dijadual dibahaskan di peringkat dasar selama lapan hari dan akan dijawab oleh menteri selama empat hari sebelum dibahaskan di peringkat jawatankuasa selama 12 hari.

Persidangan Dewan Rakyat kali ini akan berlangsung selama 32 hari hingga 29 Nov.

Berita berkaitan
Pegawai Kor Ming diletak calon DAP pada PRK Kuala Kubu Bharu
7 jam lalu· Politik
Tengku Zafrul hanya hadir sekali ke mesyuarat UMNO Selangor, kata Megat
April 22, 2024· Politik
Kerajaan boleh dianggap derhaka jika ingkar adendum, kata Annuar Musa
April 22, 2024· Politik
UMNO kekal pendirian beri laluan kepada calon DAP, kata Mat Hasan
April 22, 2024· Politik
Popular
Rayuan Rosmah dalam kes rasuah solar didengar pada 23 Okt
April 23, 2024
Kenapa generasi muda semakin hilang adab?
February 14, 2023
Reka bentuk baharu jalan Bukit Kayu Hitam ke Sadao siap November
August 28, 2022
Kemiskinan berleluasa, ketidakstabilan ekonomi akibat rasuah
February 8, 2023
Lagi Isu semasa terkini
Rayuan Rosmah dalam kes rasuah solar didengar pada 23 Okt
April 23, 2024 · Isu semasa
Semua 10 mayat mangsa nahas helikopter berjaya dikeluarkan
April 23, 2024 · Isu semasa
Jualan saham pelabur asing tertinggi empat tahun minggu lalu: MIDF
April 22, 2024 · Isu semasa
KWSP jual pegangan saham terbesar dalam Affin Bank
April 18, 2024 · Isu semasa
Ringgit ditutup paras RM4.79 berbanding dolar, hampir cecah rekod 1997
April 18, 2024 · Isu semasa
Video / Foto
[VIDEO] Mahathir dakwa SPRM ugut Mirzan untuk dakwa dirinya
January 22, 2024
[VIDEO] Siasat saya senang, yang susah siasat PM sebab ada kuasa, kata Mahathir
January 22, 2024

Agenda Daily

Berita tepat dan menyeluruh.

Umum

Tentang kami

Hubungi kami

Penafian

Sosial media

Facebook

Twitter

Youtube

Instagram

TikTok