
Datuk Hasanah Ab Hamid.
Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) tidak menghentikan siasatan melibatkan bekas Ketua Pengarah Organisasi Perisikan Luar Malaysia (MEIO), Datuk Hasanah Ab Hamid yang didakwa melakukan pecah amanah.
Bagaimanapun, siasatan SPRM mengalami kelewatan ekoran siasatan juga sedang dijalankan terhadap seorang pegawainya berhubung kehilangan barang kes yang berkait dengan kes Hasanah, kata Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Parlimen dan Undang-Undang), Datuk Seri Dr Wan Junaidi Tuanku Jaafar.
“Siasatan lanjut terhadap Hasanah masih berterusan berikutan siasatan yang sedang dijalankan oleh SPRM terhadap seorang pegawai serbuannya mengenai kehilangan barang kes yang berkaitan dengan kes Hasanah.
“Perkara ini telah menyebabkan kelewatan dalam siasatan lanjut terhadap kes Hasanah dan setakat ini, tiada apa-apa syor dikemukakan oleh SPRM berhubung kes ini,” katanya dalam jawapan bertulis di Dewan Rakyat.
Terdahulu, Ahli Parlimen Subang R Sivarasa bertanya mengapa siasatan kes Hasanah mengambil masa lebih setahun sejak April tahun lalu, selepas beliau dilepas tanpa dibebaskan oleh Mahkamah Tinggi.
Pada 12 April lalu, Mahkamah Tinggi Kuala Lumpir melepas tanpa membebaskan Hasanah daripada pertuduhan melakukan pecah amanah AS$12.1 juta (RM50.4 juta) milik kerajaan Malaysia, tiga tahun lalu.
Hakim Datuk Ahmad Shahrir Mohd Salleh membuat keputusan itu selepas Timbalan Pendakwa Raya, Muhammad Iskandar Ahmad memaklumkan kepada mahkamah bahawa pihaknya memohon untuk tidak meneruskan kes terhadap Hasanah.
Ketika itu, pihak pendakwaan memaklumkan Hasanah akan dihadapkan semula dengan pertuduhan baharu selepas mendapati ‘kewujudan penemuan-penemuan baharu’.
Pada 25 Oktober 2018, Hasanah, 65, mengaku tidak bersalah atas pertuduhan sebagai seorang penjawat awam, iaitu Ketua Pengarah Penyelidikan Jabatan Perdana Menteri (JPM), melakukan pecah amanah wang berjumlah AS$12.1 juta (RM50.4 juta) milik kerajaan Malaysia.
Dia dituduh melakukan kesalahan itu di pejabat Ketua Pengarah, Bahagian Penyelidikan JPM di Kompleks JPM, Pusat Pentadbiran Kerajaan Persekutuan di Putrajaya, antara 30 April hingga 9 Mei 2018.
Hasanah didakwa mengikut Seksyen 409 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 20 tahun dan sebatan serta denda jika sabit kesalahan.