Siasatan ke atas Najib tak dihentikan, Mas Ermieyati beritahu Parlimen

Siasatan terhadap Ahli Parlimen Pekan yang juga bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak yang didakwa terlibat dalam skandal 1Malaysia Development Berhad (1MDB) tidak pernah dihentikan, kata Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Parlimen dan Undang-Undang), Datuk Mas Ermieyati Samsudin.

Beliau berkata pada November lalu, SPRM telah mengeluarkan kenyataan berkenaan dengan pemulangan sejumlah AS$15.4 juta berkaitan kes 1MDB yang melibatkan akaun Cutting Edge Industries Ltd milik suami bekas Gabenor Bank Negara, Tan Sri Zeti Akhtar Aziz, Datuk Dr Tawfiq Ayman dan Samuel Goh pada 14 September 2021.

Katanya, Polis Diraja Malaysia (PDRM) telah membuat siasatan di bawah Seksyen 4(1) AMLA (Akta Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil daripada Aktiviti Haram 2001) terhadap Tawfiq dan satu kertas siasatan telah dirujuk kepada Jabatan Peguam Negara pada 14 Oktober 2021 dan 07 Oktober 2021.

“Bagaimanapun kertas siasatan telah dikembalikan semula kepada PDRM pada 21 Disember 2021 untuk beberapa tindakan siasatan lanjut di Singapura.

“Memandangkan Laluan Perjalanan Lengkap Vaksin (VTL) antara Malaysia dan Singapura telah ditutup sehingga kini maka tindakan seterusnya akan diambil selepas pembukaan kedua-dua negara,” katanya.

SPRM juga katanya, memberi tumpuan kepada pemulangan aset yang ketika ini memberi tumpuan aset di negara-negara seperti Switzerland, Kuwait, Mauritius, Cyprus, Hong Kong melibatkan individu yang mempunyai kaitan dengan kes 1MDB.

Terdahulu, Ketua Pembangkang Datuk Seri Anwar Ibrahim ketika membahaskan usul itu mendesak siasatan secara menyeluruh melibatkan institusi kewangan serta semua agensi penyiasatan terlibat dilakukan segera berikutan pendedahan terbaharu oleh Tim Leissner itu.

Ahli Parlimen Port Dickson itu turut menuntut penjelasan daripada BNM, Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN), SPRM dan PDRM mengenai pendedahan itu.

“Kita minta pertamanya lakukan siasatan menyeluruh terhadap isu ini. Kita juga mahu penjelasan, tindakan, maklumat yang diperoleh serta tindakan terkini berkaitan kes 1MDB oleh kesemua agensi tadi,” katanya ketika membahaskan usul itu.

Usul berkenaan turut dibahas berapa Ahli Parlimen pembangkang iaitu Mohamad Sabu (PH-Kota Raja), Lim Guang Eng (PH-Bagan), Datuk Seri Mukhriz Tun Mahathir (Pejuang-Jerlun), Ahmad Fahmi Mohamed Fadzil (PH-Pantai Dalam) dan Sivarasa K Rasiah (PH-Sungai Buloh).

BERITA BERKAIT
POPULAR