Siasat bagaimana individu tak divaksin boleh keluar negara

Bagaimana individu tidak divaksinasi boleh terlepas keluar negara melalui lapangan terbang antarabangsa, akan disiasat, kata Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Hamzah Zainuddin.

Beliau berpendapat perkara sedemikian tidak sepatutnya berlaku, tatkala varian Omicron yang pantas menular semakin merebak, dan pihak Jabatan Imigresen pula tidak boleh dipersalahkan dalam hal itu.

Ada kekeliruan antara agensi kerajaan bertanggungjawab melakukan pemeriksaan terhadap individu tanpa vaksin yang bebas keluar masuk ke negara ini melalui lapangan terbang antarabangsa, katanya.

Jabatan Imigresen pula katanya, tidak boleh dipersalahkan dalam hal ini kerana setiap individu yang melalui pemeriksaan membawa pas pelepasan.

“Sepatutnya sebelum mereka ambil ‘boarding pass’ lagi… di situlah harus ada pemeriksaan, sama ada pengembara ini sudah mendapatkan vaksin atau belum, sebelum melalui pemeriksaan Jabatan Imigresen.

“Ketika melalui pemeriksaan Jabatan Imigresen pula, apabila kita sudah melakukan pemeriksaan berkaitan dokumentasi perjalanan dan individu itu memiliki pas pelepasan, maka kita akan benarkan dia lalu,” katanya

Hamzah mengakui berlaku sedikit kekhilafan kerana kejadian itu adalah di luar jangkaan malah belum pernah berlaku sebelum ini.

“Kita akan bincang semula dengan semua syarikat penerbangan supaya jika selepas ini mereka dapat memperbaiki lagi proses pemberian pas pelepasan kepada mana-mana individu atau penumpang, sebagai contoh sebelum pas pelepasan diberikan pekerja di kaunter penerbangan boleh memeriksa sama ada individu itu sudah divaksin atau belum,” katanya.

Semalam, Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) mendedahkan terdapat jemaah umrah yang dijangkiti varian Omicron tidak menerima sebarang vaksin dan dibenarkan pergi mengerjakan ibadah itu.

Sebanyak 14 peratus daripada 122 jemaah umrah yang dijangkiti varian Omicron tidak menerima sebarang vaksinasi, kata Menteri Kesihatan Khairy Jamaluddin.

Menurutnya bagaimana kebenaran boleh diberikan kepada mereka untuk mengerjakan umrah dalam keadaan mereka tidak divaksinasi akan disiasat.

BERITA BERKAIT
POPULAR