Shahrir Samad beri cek RM63,800 baik pulih bangunan: Saksi

September 6, 2022 · Isu semasa

Seorang kontraktor pembinaan memberitahu Mahkamah Tinggi di sini hari ini bahawa beliau menerima wang berjumlah RM63,800 daripada Tan Sri Shahrir Ab Samad berhubung kerja-kerja membaik pulih bumbung tiga blok bangunan Projek Puri Langkasuka di Larkin.

Mustapha Ali, 63, berkata beliau menerima wang itu menerusi sekeping cek daripada seorang peniaga, Syed Mohsin Syed Sagaf, pada akhir Mac 2014 setelah kerja-kerja tersebut selesai dilaksanakan.

“Saya telah mendepositkan cek tersebut ke dalam akaun Public Islamic Bank atas nama Zam Engineering & Construction milik isteri saya, Hamidah Basir dan Nur Faizah Zulkifli iaitu anak kepada rakan saya.

“Semua wang yang didepositkan berjumlah RM63,800 telah saya kembalikan kepada Syed Mohsin melalui tiga keping cek Public Islamic Bank,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika membacakan pernyataan saksinya pada perbicaraan kes bekas Pengerusi Felda itu yang berdepan pertuduhan gagal mengisytiharkan RM1 juta yang diterima daripada bekas Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak kepada Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN).

Saksi pendakwaan ke-13 itu berkata beliau ada mengemukakan surat sebut harga berjumlah RM63,800 kepada Shahrir atas arahan Syed Mohsin dan tuntutan tersebut telah dibuat atas nama Zam Engineering & Construction.

“Syed Mohsin meminta saya untuk menyediakan surat sebut harga kepada Tan Sri Shahrir kerana Syed Mohsin telah menggunakan wang peribadinya sebagai pendahuluan untuk membeli barang-barang membaiki bumbung serta membayar upah saya dan pekerja tetapi beliau masih belum membuat tuntutan daripada Tan Sri Shahrir,” katanya.

Selain itu, Mustapha berkata semasa perjumpaan sekitar Oktober 2013, beliau serta Syed Mohsin berbual mengenai perkembangan kerjaya masing-masing dan Syed Mohsin memaklumkan ada membuat kerja membaik pulih Projek Puri Langkasuka atas arahan Shahrir.

“Memandangkan ketika itu saya tidak mempunyai projek, saya ada bertanya kepada Syed Mohsin sama ada beliau memerlukan pekerja atau tidak untuk melakukan kerja baik pulih tersebut,” katanya yang mengenali Syed Mohsin selama kira-kira 30 tahun sejak menjalankan perniagaan sebagai ‘broker’ penjualan kereta.

Saksi itu berkata Syed Mohsin telah bersetuju supaya beliau melakukan kerja pembaikan bumbung bagi tiga blok bangunan yang terbengkalai dan pembayaran akan dibuat oleh Shahrir sendiri.

Sementara itu, Mustapha bersetuju dengan peguam Syahrul Syazwan Salehin, yang mewakili Shahrir, bahawa kerja-kerja membaik pulih bumbung tiga blok bangunan itu adalah projek terbengkalai.

Saksi itu berkata beliau tidak pasti sama ada Syed Mohsin memaklumkan kepadanya bahawa projek tersebut bertujuan memindahkan penduduk setinggan ke tempat yang lebih selesa dan baik.

Shahrir, 72, didakwa melibatkan diri dalam pengubahan wang haram dengan tidak melaporkan pendapatan sebenar dalam borang cukai pendapatan yang bertentangan dengan Seksyen 113(1)(a) Akta Cukai Pendapatan 1967, iaitu tidak mengisytiharkan pendapatan diterima daripada Najib berjumlah RM1 juta melalui sekeping cek yang kemudian dimasukkan ke dalam akaun bank miliknya.

Beliau didakwa melakukan perbuatan itu di LHDN Cawangan Duta, Kompleks Pejabat Kerajaan, Jalan Tuanku Abdul Halim di sini pada 25 April 2014 mengikut Seksyen 4(1) Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram dan Pencegahan Pembiayaan Keganasan 2001 yang membawa hukuman maksimum penjara lima tahun atau denda RM5 juta atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.

Perbicaraan di hadapan Hakim Datuk Muhammad Jamil Hussin bersambung esok. – Bernama

Berita berkaitan
AS$600 juta masuk dalam akaun Najib boleh jejas nilai ringgit, kata saksi kes 1MDB
9 jam lalu· Isu semasa
Pendakwaan mohon hukuman penjara ditambah 3 bulan terhadap Lokman
15 jam lalu· Isu semasa
Hari ketiga perbicaraan kes Ebit Lew, seorang lagi pendakwah dijangka jadi saksi
17 jam lalu· Isu semasa
‘Mencurah wang’ daripada syarikat berkait Jho Low masuk akaun Najib
September 28, 2022· Isu semasa
Popular
Pendakwaan mohon hukuman penjara ditambah 3 bulan terhadap Lokman
September 29, 2022
Tuan Ibrahim sokong cadangan Speaker tetapkan tarikh PRU secara automatik
September 29, 2022
Buat PRU-15 selepas bentang Bajet 2023 itu satu ‘penipuan’, kata penganalisis
September 29, 2022
Hari ketiga perbicaraan kes Ebit Lew, seorang lagi pendakwah dijangka jadi saksi
September 29, 2022
Lagi Isu semasa terkini
Bursa ditutup rendah lagi, susut bawah paras 1,400
10 jam lalu · Isu semasa
Buat PRU-15 selepas bentang Bajet 2023 itu satu ‘penipuan’, kata penganalisis
10 jam lalu · Isu semasa
Ringgit jatuh lagi menghampiri RM4.7O berbanding dolar
10 jam lalu · Isu semasa
KPM ambil langkah tangani nasib guru besar, rundingan capai persetujuan: Radzi
10 jam lalu · Isu semasa
Tuan Ibrahim sokong cadangan Speaker tetapkan tarikh PRU secara automatik
12 jam lalu · Isu semasa
Video / Foto
[VIDEO] Guru besar kekal sebagai pentadbir sekolah, kata Radzi
6 jam lalu
[VIDEO] Kerajaan masih kaji kanabis sebagai rawatan penagih, bukan hukuman
11 jam lalu

Agenda Daily

Berita tepat dan menyeluruh.

Umum

Tentang kami

Hubungi kami

Penafian

Sosial media

Facebook

Twitter

Youtube

Instagram

TikTok