Shahidan cadang remaja bawah 18 diberikan dos vaksin pertama

Kerajaan dicadangkan memulakan pemberian dos pertama vaksin Covid-19 kepada remaja bawah 18 tahun khususnya di negeri yang sudah mencapai 80 peratus imuniti kelompok seperti di Perlis, kata Ahli Parlimen Arau Datuk Seri Shahidan Kassim.

Pengerusi Perbadanan PR1MA Malaysia (PR1MA) itu berkata kerajaan boleh menimbang untuk memperluaskan pemberian vaksin kepada negeri-negeri yang sudah mencecah tahap imuniti berkelompok dan hasil tinjauannya mendapati Program Mobilisasi Vaksin Komuniti (MOVAK) mendapat sambutan baik daripada penduduk tempatan.

“Saya mencadangkan dos pertama vaksin wajar diberikan kepada remaja bawah 18 tahun, di Perlis sudah mencapai tahap 80 peratus imuniti kelompok dan mungkin tumpuan perlu diberikan kepada kumpulan remaja ini pula,” katanya kepada Agenda Daily.

Jelasnya, kumpulan remaja juga antara yang berisiko dijangkiti virus membunuh tersebut dan perlu diberikan vaksin sekurang-kurangnya dos pertama.

Menurut Shahidan lagi, hasil pemerhatiannya sepanjang inisiatif MOVAK dijalankan di Perlis, ia mendapat sambutan yang menggalakkan daripada orang ramai sepanjang ia dijalankan pada 23 hingga 25 Ogos baru-baru ini.

“Di tiga kawasan pemberian vaksin yang dijalankan bawah MOVAK ini di Perlis, seramai 7034 individu sudah disuntik vaksin… Ia hampir mencapai sasaran yang ditetapkan 7500 orang yang disasarkan MOVAK,” katanya lagi.

Beliau berharap program tersebut akan diteruskan dengan memberi fokus kepada remaja 18 tahun kerana ia terbukti dapat mempercepatkan imuniti kelompok dicapai.

“Program sebegini mendapat sambutan baik kerana datang terus ke tempat mereka dan ia memberi kemudahan kepada mereka… program yang bermula sejak pagi tersebut dan berakhir pada petang, terdapat penerima yang mendaftar lebih awal dan ada juga yang hadir secara walk-in,” ujarnya lagi.

Program MOVAK Perlis bermula Isnin sehingga Rabu (25 Ogos) di Dataran MPK Pauh; Dewan Felda Mata Ayer; Dewan Padang Semarak; Dewan Pusat Internet Batas Lintang Simpang Empat; Pusat Khidmat Kubang Gajah dan Dataran Mentalon.

Di Kedah program MOVAK dijalankan pada 27 dan 28 Ogos di Stadium Kulim; Dewan Bandar Laguna Merbuk, Sungai Petani dan Dewan Jitra, Kubang Pasu.

Di Pulau Pinang pula, program dilaksanakan pada 30 Ogos hingga 2 September di Dewan Dato’ Haji Ahmad Badawi (Seberang Perai Utara); Kompleks Sukan Jalan Betek (Seberang Perai Tengah); Stadium Batu Kawan (Seberang Perai Selatan); Stadium Bandaraya (Timur Laut) dan Dewan Perda Teluk Kumbar (Barat Daya).

PR1MA menyediakan 10 buah bas yang berfungsi sebagai pusat pemberian vaksin (PPV) bergerak untuk melaksanakan MOVAK di Perlis, Kedah dan Pulau Pinang bermula Isnin sehingga 2 September depan.

BERITA BERKAIT
POPULAR