
Bekas Perdana Menteri yang juga bekas Presiden UMNO Datuk Seri Najib Razak dijatuhi hukuman penjara 12 tahun dan denda RM210 juta, pada Julai 2020 selepas didapati bersalah terhadap tujuh tuduhan berkaitan dana RM42 juta milik SRC International Sdn Bhd (SRC).
Tan Sri Muhammad Shafee Abdullah “lebih lengkap” daripada Queen’s Counsel Jonathan Laidlaw yang berpangkalan di London untuk mewakili bekas Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak dalam rayuan terakhirnya terhadap sabitan dan hukuman penjara serta denda RM210 juta dalam kes SRC International Sdn Bhd, kata pihak pendakwaan.
Dalam afidavit yang difailkan hari ini di Mahkamah Tinggi di Kuala Lumpur oleh Timbalan Pendakwa Raya Mohd Ashrof Adrin Kamarul bagi pihak pendakwaan, ia membantah permohonan Peguam Diraja dari London atas arahan Najib untuk menjadi peguam bela utama dalam rayuandi Mahkamah Persekutuan.
Dalam afidavit itu, Mohd Ashrof berkata isu dalam kes SRC Najib bukanlah isu yang sukar atau kompleks, dan tidak bersetuju Laidlaw mempunyai kelayakan atau pengalaman khas yang relevan dengan rayuan SRC yang belum dimiliki oleh peguam Malaysia.
Mohd Ashrof menegaskan bahawa Laidlaw tidak mempunyai pengalaman dalam menjalankan perbicaraan jenayah atau rayuan jenayah di bawah undang-undang di mahkamah Malaysia – yang mana Najib didakwa dan disabitkan bersalah – dan peguam yang berpangkalan di United Kingdom itu tidak mahir dengan undang-undang tempatan yang terlibat dalam rayuan JPP di Mahkamah Persekutuan.
“Pengalaman pemohon dalam mengendalikan kes di luar Malaysia tidak memberikan pemohon kelayakan atau pengalaman khas yang diperlukan untuk melakukan rayuan di bawah undang-undang domestik,” hujah Mohd Ashrof, merujuk kepada Laidlaw sebagai pemohon.
Mohd Ashrof berkata Laidlaw gagal memenuhi syarat di bawah Seksyen 18(1) Akta Profesion Undang-undang untuk dibenarkan menjalankan amalan di Malaysia bagi membela Najib dalam rayuan terakhirnya berhubung penyelewengan lebih RM42 juta dana SRC.
Mohd Ashrof berkata terdapat peguam tempatan yang mempunyai kepakaran khas – yang didakwa Laidlaw – yang akan dapat membela Najib, termasuk peguam bela utama Najib sendiri, Shafee, sejak tiga tahun lepas apabila perbicaraan bermula di Mahkamah Tinggi.
“Memang pelik bagi pemohon untuk berhujah bahawa tiada peguam tempatan untuk mempertahankan pertuduhan yang dihadapi oleh perayu apabila Tan Sri Dato Sri Dr Muhammad Shafee Abdullah sendiri dan pasukannya membela perayu di Mahkamah Tinggi ke Mahkamah Persekutuan.
“Adalah satu ironi untuk mengatakan bahawa tiada peguam tempatan yang mempunyai kelayakan atau pengalaman khas jika dibandingkan dengan pemohon untuk mempertahankan pertuduhan ini sedangkan pemohon sendiri tidak mempunyai pengalaman dalam menghujahkan pertuduhan ini di hadapan mahkamah Malaysia,” katanya menurut MalayMail.
Di bawah Seksyen 18(1), Mahkamah Tinggi boleh menerima seseorang – yang layak diterima masuk sebagai peguam di Malaysia jika dia warganegara Malaysia atau pemastautin tetap – untuk menjalankan amalan sebagai peguam di sini, untuk tujuan apa-apa satu kes dan jika syarat tertentu dipenuhi.
Syarat-syarat yang perlu dipenuhi di bawah Seksyen 18(1) adalah jika orang ini mempunyai – pada pendapat mahkamah – kelayakan atau pengalaman khas yang tidak terdapat di kalangan peguam di Malaysia untuk tujuan kes tertentu itu, dan juga jika dia telah diarahkan oleh peguam di Malaysia untuk bertindak bagi kes itu.
Mohd Ashrof juga menegaskan bahawa Laidlaw tidak mempunyai kelayakan Bahasa Malaysia seperti yang dikehendaki di bawah Seksyen 11(2) Akta Profesion Undang-undang untuk menyokong permohonannya di bawah Seksyen 18(2) untuk mewakili Najib.