Shafee kembali wakili Najib, hakim tolak permohonan tangguh perbicaraan

August 23, 2022 · Isu semasa

Drama dalam sambungan perbicaraan kes SRC International Sdn Bhd melibatkan Datuk Seri Najib Razak pagi ini apabila peguam yang dipecatnya, Tan Sri Muhammad Shafee Abdullah kembali mewakilinya.

Shafee yang sebelum ini dipecat Najib memberitahu Mahkamah Persekutuan kembali untuk mewakili bekas Perdana Menteri itu dalam perbicaraan terakhir SRC tetapi memohon untuk menangguhkan prosiding hari ini ke esok pagi.

Semasa dalam kamar dipengerusikan Ketua Hakim Negara Tun Tengku Maimun Tuan Mat, Shafee memberitahu keputusan menarik diri daripada pasukan peguam Najib kerana tidak berpuas hati dengan pasukan peguam Datuk Zaid Ibrahim.

“Peguam dari Singapura itu tidak tahu apa-apa mengenai undang-undang jenayah,” kata Shafee menjelaskan kedudukan kembalinya mewakili Najib hari ini.

Dalam permohonan untuk menangguhkan prosiding hari ini, Shafee memberi alasan perlu menghadiri simposium di Parlimen pada 2.30 petang nanti.

Bagaimanapun, Tengku Maimun menolak permohonan Shafee dan meminta peguam Najib, Hisyam Teh Poh Teik untuk meneruskan hujahannya.

“Kami mendapati tiada alasan untuk tangguh,” kata Tengku Maimun menolak permohonan Shafee.

Shafee sebelum ini mengetuai pasukan peguam yang membela Najib dalam kes SRC tetapi dipecat sebelum bermula perbicaraan pada minggu lepas dan digantikan dengan firma Zaid.

Susulan keputusan Tengku Maimun menolak permohonan Shafee, wartawan di Istana Kehakiman memberitahu beliau kemudiaan keluar dari dan meninggalkan kamar mahkamah.

Hisyam Teh akan meneruskan hujahannya selepas Shafee meninggalkannya keseorangan mewakili Najib.

Terdahulu, peguam Najib, Hisyam Teh dalam afidavit yang difailkan malam tadi meminta Tengku Maimun menarik diri daripada mempengerusikan perbicaraan rayuan kes Najib hari ini.

Alasan yang diberikan menurut laporan MalayMail ialah penemuan baharu oleh Najib yang didakwa ada kaitan dengan Tengku Maimun.

Memetik laporan portal media itu, dalam afidavit sokongan berhubung permohonan meminta Tengku Maimun menarik diri, Najib mendakwa keputusan yang dibuat oleh Mahkamah Persekutuan terhadapnya tertakluk kepada keraguan selepas dia baru-baru ini memperoleh petikan catatan Facebook yang dibuat “Zamani Ibrahim” pada Mei 2018.

Menurut Najib, dia benar-benar percaya individu yang disebut di atas adalah suami Ketua Hakim Negara, yang juga pengerusi panel hakim yang mendengar rayuan terakhirnya.

“Saya benar-benar percaya bahawa perkembangan ini sangat mengganggu, memandangkan Zamani Ibrahim dengan jelas mempunyai sentimen negatif terhadap kepimpinan saya di negara ini semasa saya menjadi perdana menteri dan telah membuat kesimpulan saya telah menyeleweng dana berdaulat kerajaan ke dalam akaun peribadi saya.

“Sebagai suami kepada pengerusi yang mengadili rayuan saya, berkemungkinan dia akan mempengaruhi pemikiran pengerusi tentang dakwaan saya bersalah.

“Saya seterusnya menyatakan bahawa memandangkan sifat hubungan suami isteri mereka, kemungkinan besar minda pengerusi itu secara tidak sedar akan dipengaruhi oleh sentimen terhadap saya yang dipegang oleh suaminya,” tulis Najib dalam afidavit tersebut.

Mahkamah Rayuan pada 8 Disember 2021 mengekalkan keputusan Mahkamah Tinggi pada Julai 2020 berhubung hukuman penjara 12 tahun dan denda RM210 juta yang dikenakan terhadap Najib.

Najib telah didapati bersalah atas satu pertuduhan salah guna kuasa, tiga pertuduhan pecah amanah jenayah, dan tiga pertuduhan pengubahan wang haram.

Berita berkaitan
Zaman ‘merpati’ jadi PM, Anwar dakwa hanya tidur atas lantai di penjara
September 23, 2022· Politik
Tak pernah lihat badan kehakiman bebas seperti sekarang: Musa Hitam
September 15, 2022· Isu semasa
Pendakwa Raya kata RM9.5 juta pinjaman untuk tutup jenayah Shafee
September 15, 2022· Isu semasa
Keputusan kes saman LHDN terhadap Shafee tak bayar cukai pada 28 Sept
September 13, 2022· Isu semasa
Popular
81% pencarum KWSP Bumiputera miliki kurang RM1,000: Laporan
October 1, 2022
Najib dapat keistimewaan kerana MOU Anwar dan DAP dengan kerajaan
November 19, 2021
Krisis ekonomi global 2023?
October 1, 2022
Kes bunuh diri meningkat petanda rakyat semakin terdesak?
June 12, 2022
Lagi Isu semasa terkini
81% pencarum KWSP Bumiputera miliki kurang RM1,000: Laporan
13 jam lalu · Isu semasa
2,007 kes semalam, 5 kematian
18 jam lalu · Isu semasa
Gempa bumi di Indonesia dirasai penduduk sekitar Lembah Klang
19 jam lalu · Isu semasa
Krisis ekonomi global 2023?
21 jam lalu · Isu semasa
Ejen kosmetik diculik di Tumpat cuba diseludup ke Laos: Laporan
September 30, 2022 · Isu semasa
Video / Foto
[VIDEO] Mesyuarat MKT UMNO putus 9 ketetapan
October 1, 2022
[VIDEO] 4 wilayah Ukraine jadi milik Rusia
October 1, 2022

Agenda Daily

Berita tepat dan menyeluruh.

Umum

Tentang kami

Hubungi kami

Penafian

Sosial media

Facebook

Twitter

Youtube

Instagram

TikTok