Setiausaha Agung UMNO pula ambil giliran ‘serang’ badan kehakiman

August 18, 2022 · Isu semasa

Setelah Presiden, Timbalan Presiden dan Ketua Pemuda UMNO dilihat mula menyerang badan kehakiman sejak Mahkamah Persekutuan menolak permohonan Datuk Seri Najib Razak untuk memasukkan bukti baharu dan menangguhkan prosiding rayuan akhir kes SRC International, kini Setiausaha Agung parti itu, Datuk Seri Ahmad Maslan pula mengambil giliran.

Ahli Parlimen Pontian itu menggesa Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) menafikan atau mengesahkan ketulenan dokumen tular yang didakwa kertas siasatan berhubung Hakim Mahkamah Tinggi (kini Hakim Mahkamah Rayuan), Datuk Mohd Nazlan Mohd Ghazali.

Terdahulu, seorang peguam bela dan peguam cara berpendapat tindakan dan kenyataan yang dibuat pemimpin UMNO berhubung rayuan akhir Najib di Mahkamah Persekutuan sekarang ini, adalah serangan dan penghinaan terhadap badan kehakiman.

Muhammad Rafique Rashid Ali seorang peguam Mahkamah Tinggi berkata propaganda UMNO bermula setelah Mahkamah Persekutuan menolak permohonan Najib memasukkan bukti baharu dan menangguhkan perbicaraan rayuan akhirnya.

“Sebaik sahaja Mahkamah Persekutuan menolak permohonan Najib untuk mengemukakan bukti baharu pada Selasa lepas, tiada sebarang komen diberikan oleh UMNO. Malah ada juga desas-desus menyatakan UMNO terpaku kerana ‘raja media sosial/FB’ mereka gagal dalam langkah terakhirnya.

“Namun, semalam propaganda UMNO telah bermula. Kepimpinan tertinggi UMNO melalui Presiden, Timbalan Presiden dan Ketua Pemuda telah membuat kenyataan-kenyataan yang boleh dianggap mempersoal keputusan Mahkamah Persekutuan tersebut,” katanya.

Muhammad Rafique mengingatkan bahawa Mahkamah Persekutuan adalah mahkamah tertinggi negara dengan panel lima hakim itu pula bukannya calang-calang apabila diketuai sendiri Ketua Hakim Negara.

Mengulas lanjut, Ahmad berkata mengikut kenyataan rasmi bertarikh 21 Mei 2022, pihak SPRM mengesahkan bahawa siasatan mengenai kes membabitkan Mohd Nazlan telah diselesaikan dan diserahkan kepada Jabatan Peguam Negara (AGC) untuk tindakan lanjut pada 18 Mei 2022 lalu.

“Satu dokumen yang didakwa merupakan kertas siasatan tersebut yang dikatakan terbocor telah menjadi tular pada waktu ini.

“Kertas tersebut mendakwa ada berlakunya kesalahan di bawah Seksyen 220 Kanun Keseksaan (membabitkan Mohd Nazlan),” katanya dalam satu kenyataan yang disiarkan dalam Facebooknya malam ini.

Ahmad berkata penjelasan daripada SPRM adalah penting kerana Mahkamah Persekutuan menolak permohonan Najib untuk memasukkan bukti bagi memeriksa percanggahan kepentingan Mohd Nazlan dalam kes SRC International Sdn Bhd.

“UMNO berpandangan SPRM perlu mengesahkan atau menafikan keabsahan kertas siasatan itu yang sudah tular. AGC juga perlu mengumumkan sekiranya akan ada tindakan lanjut bagi kertas siasatan berkenaan.

“Integriti institusi yang kita hormati perlu dilindungi dan UMNO amat berharap SPRM dan AGC akan menjelaskan kepada rakyat mengenai isu ini dalam masa terdekat,” katanya.

Dokumen tular yang didakwa sebagai kertas siasatan itu, antara lain merumuskan terdapat pelanggaran etika kehakiman mengikut Warta Kerajaan 25 Jun 2009 berkaitan Kod Etika Hakim 2009.

Pelanggaran etika itu ialah Mohd Nazlan gagal mengisytiharkan kepentingannya semasa menjalankan tugas sebagai hakim yang mendengar perbicaraan Najib.

Perkara 8 dalam Kod Etika Hakim 2009 antara lain memperuntukkan seseorang hakim perlu mengurangkan risiko percanggahan dengan tanggungjawab kehakiman ketika menjalankan aktiviti luar.

Najib memulakan hari pertama rayuan terakhir itu pada Isnin (16 Ogos) dengan menunggu keputusan permohonannya untuk mengemukakan bukti baharu berkaitan Mohd Nazlan selepas penghujahan peguam belanya. Bagaimanapun, dia dikecewakan apabila mahkamah menolak permohonan itu.

Panel lima hakim dipengerusikan Ketua Hakim Negara, Tun Tengku Maimun Tuan Mat sebulat suara membuat keputusan itu selepas mendapati tiada kaitan antara jawatan Mohd Nazlan sebelum ini sebagai Kaunsel dan Setiausaha Syarikat Kumpulan Maybank yang boleh menyebabkan berat sebelah terhadap Najib.

Mohd Nazlan adalah hakim Mahkamah Tinggi yang mendapati Najib bersalah terhadap tujuh tuduhan pecah amanah, salah guna kuasa dan pengubahan wang haram dana SRC dan memerintahkannya dipenjara 12 tahun serta denda RM210 juta pada 28 Julai 2020.

Pada Selasa, mahkamah sama sebulat suara menolak permohonan Najib untuk menangguhkan perbicaraan rayuan antara tiga hingga empat bulan untuk memberi masa kepada peguam yang baharu dilantik, menyemak pelbagai rekod kes itu.

Najib sedang merayu sabitan hukuman itu di Mahkamah Persekutuan yang akan menyambung pendengarannya esok.

Berita berkaitan
Saman fitnah: Rayuan Jamal ditolak, perlu bayar RM300 ribu kepada Kok
March 27, 2024· Isu semasa
Dewan Rakyat: Usul gantung Wan Saiful ditarik balik
March 5, 2024· Politik
DAP semakin berani disebabkan UMNO hanya ‘penumpang’ dalam kerajaan
February 13, 2024· Politik
Isu RM750 juta, PAS minta PMX beri penjelasan jangan melulu buat tuduhan
January 10, 2024· Politik
Popular
Polis sedang kesan individu hina Sultan Selangor, dipercayai berada luar negara
March 27, 2024
LCS: Anwar cakap tak serupa bikin
May 29, 2023
Netizen persoal isu ‘roadtax’, MyJPJ jika bawa kenderaan orang lain
February 10, 2023
Banjir kilat di beberapa kawasan di Balik Pulau
July 1, 2023
Lagi Isu semasa terkini
Polis sedang kesan individu hina Sultan Selangor, dipercayai berada luar negara
March 27, 2024 · Isu semasa
Kata masuk pelaburan berbilion, Rafidah terkejut kilang tayar tutup
March 7, 2024 · Isu semasa
Laman akaun Facebook tak boleh diakses jutaan pengguna
March 5, 2024 · Isu semasa
Ahli Parlimen blok kerajaan juga tak setuju cukai SST dinaikkan
March 5, 2024 · Isu semasa
Isteri Tun Daim cabar kesahihan pertuduhan SPRM di Mahkamah Tinggi
March 5, 2024 · Isu semasa
Video / Foto
[VIDEO] Mahathir dakwa SPRM ugut Mirzan untuk dakwa dirinya
January 22, 2024
[VIDEO] Siasat saya senang, yang susah siasat PM sebab ada kuasa, kata Mahathir
January 22, 2024

Agenda Daily

Berita tepat dan menyeluruh.

Umum

Tentang kami

Hubungi kami

Penafian

Sosial media

Facebook

Twitter

Youtube

Instagram

TikTok