Setelah dikritik, Kerajaan Selangor batal rancangan nyahwarta HSKLU

Setelah menerima kritikan hebat daripada pelbagai pihak termasuk daripada parti gabungan, Kerajaan Pakatan Harapan (PH) Selangor akhirnya membuat keputusan menghentikan cadangan pembangunan di Hutan Simpan Kuala Langat Utara (HSKLU).

Sebelum ini Kerajaan Selangor telah melakukan penyahwartaan HSKLU secara diam-diam pada Mei lalu, tetapi terbongkar pada sesi soal jawab dalam sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) pada 30 Ogos lalu.

Terdahulu, Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (MMKN) meluluskan kira-kira 536.70 hektar daripada keseluruhan kawasan HSKLU diluluskan untuk dinyahwarta mengikut Seksyen 12 Enakmen (Pemakaian) Akta Perhutanan Negeri Selangor 1985.

Pengerusi Jawatankuasa Tetap Pelancongan, Alam Sekitar, Teknologi Hijau dan Hal Ehwal Orang Asli Selangor Hee Loy Sian, berkata keputusan itu dibuat menerusi MMKN pada 5 Mei dan disahkan pada 19 Mei.

Jelasnya, jumlah keluasan HSKLU yang ingin dinyahwarta ini adalah kurang 45 peratus daripada jumlah asal yang dicadangkan iaitu kira-kira 991.90 hektar.

Sidang DUN itu juga diberitahu sebuah syarikat, Gabungan Indah Sdn Bhd diberikan hak untuk membangunkan sebahagian kawasan hutan paya gambut itu bagi tujuan projek pembangunan bercampur.

Susulan terbongkarnya keputusan penyahwartaan HSKLU itu, pelbagai pihak mengkritik tindakan kerajaan negeri, manakala Kerajaan Pusat pula tidak pernah memberi kelulusan berbuat demikian.

Menteri Besar Datuk Seri Amirudin Shari dalam kenyataan hari ini berkata kerajaan negeri membatalkan tindakan menyahwarta HSKLU dan pemberian hak milik kepada syarikat berkenaan.

“Hanya 104 ekar daripada jumlah keseluruhan 1,326 ekar akan kekal dinyahwarta bagi melengkapkan pemberimilikan tanah kepada Kampung Orang Asli Busut Baru bagi menyelesaikan isu yang tertangguh sejak tahun 2006.

“Mereka telah dipindahkan dari penempatan asal mereka pada 1994 untuk tujuan pembinaan KLIA,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Menurutnya, kerajaan Negeri juga akan mempertimbangkan sebahagian kecil lagi kawasan akan kekal dinyahwarta untuk tujuan pertimbangan jajaran East Coast Rail Link (ECRL).

“Sehubungan dengan itu, Kerajaan Negeri Selangor akan memulakan proses mewartakan semula Hutan Simpan Kuala Langat Utara.

“Pada masa yang sama, kawasan gantian yang diwartakan sebagai Hutan Simpan Kekal seluas 1,436 ekar di Sungai Panjang, Ampang Pechah dan Bukit Broga akan kekal statusnya sebagai Hutan Simpan Kekal,” katanya.

BERITA BERKAIT
POPULAR