Sesi persekolahan penggal tiga 2021/2022 ditangguh seminggu

Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) menangguhkan pembukaan sesi persekolahan penggal tiga 2021/2022 di seluruh negara susulan bencana banjir yang berlaku di beberapa negeri.

Menteri Kanan Pendidikan, Datuk Dr Radzi Jidin berkata bagi negeri kumpulan A sesi persekolahan akan bermula pada 9 Januari 2022 dan 10 Januari 2022 bagi sekolah di negeri kumpulan B.

“Sepertimana yang diumumkan oleh KPM sebelum ini sesi persekolahan penggal tiga, 2021/2022 akan bermula pada 2 Januari 2022 bagi kumpulan A dan 3 Januari 2022 bagi kumpulan B.

“Bagaimanapun, mengambil kira situasi banjir semasa di seluruh negara yang melibatkan murid, ibu bapa serta guru-guru sama ada secara langsung atau tidak langsung juga yang melibatkan sekolah-sekolah sama ada sebagai pusat pemindahan sementara (PPS) ataupun sekolah yang terjejas teruk.

“KPM telah membuat keputusan bahawa sesi persekolahan penggal tiga, 2021/2022, akan ditangguhkan selama seminggu. Sekolah akan bermula pada 9 Januari 2022 bagi negeri kumpulan A dan 10 Januari 2022 bagi negeri kumpulan B,” katanya menerusi siaran video sebentar tadi.

Negeri kumpulan A terdiri daripada Johor, Kedah, Kelantan dan Terengganu, manakala kumpulan B meliputi Melaka, Negeri Sembilan, Pahang, Perak, Perlis, Pulau Pinang, Sabah, Sarawak, Selangor, Kuala Lumpur, Labuan dan Putrajaya.

Beliau berkata makluman lanjut berhubung perkara itu akan dikeluarkan melalui kenyataan media KPM hari ini.

Dr Radzi berkata KPM amat cakna dan prihatin dengan kebajikan. guru, murid dan ibu bapa dalam konteks situasi banjir semasa.

“Kita sedar ini merupakan satu tempoh yang amat sukar bagi semua pihak dan kita fahami bahawa mereka memerlukan masa untuk kembali menyiapkan keperluan sebelum dapat mulakan sesi persekolahan bagi penggal tiga 2021/2022.

“Kita doakan yang terbaik buat mangsa-mangsa banjir di seluruh negara dan insya-Allah sebarang keputusan yang dibuat oleh KPM, kita sentiasa komited untuk mengambil berat kebajikan murid, ibu bapa dan guru-guru,” katanya.

BERITA BERKAIT
POPULAR