Sesi Parlimen tak dilanjutkan, berakhir ikut jadual: Wan Junaidi

Tiada lanjutan dalam Mesyuarat Kedua Penggal Keempat Parlimen ke-14, kata Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Parlimen dan Undang-Undang) Datuk Seri Dr Wan Junaidi Tuanku Jaafar.

Beliau berkata sesi Parlimen semasa yang bermula pada 25 Okt, akan berakhir seperti yang dijadualkan pada 16 Dis walaupun terdapat petunjuk awal ia mungkin dilanjutkan selama dua hari.

Wan Junaidi berkata persidangan semasa akan memberi tumpuan kepada tujuh rang undang-undang iaitu Bajet 2022 serta pindaan beberapa perkara dalam Perlembagaan Persekutuan.

“Ini termasuk pembentangan rang undang-undang untuk meminda beberapa peruntukan dalam Perlembagaan Persekutuan selaras dengan Perjanjian Malaysia 1963 (MA63),” katanya dalam kenyataan hari ini lapor Bernama.

Beliau berkata selepas membuat pertimbangan, adalah lebih baik untuk tidak melanjutkan sesi itu kerana kebanyakan menteri, Ahli Parlimen serta pegawai kerajaan telah membuat perancangan untuk cuti akhir tahun mereka.

“Walaupun saya faham ramai dalam kalangan kita yang sudah pun dalam mood bercuti, saya ingin mendapatkan kerjasama daripada rakan-rakan Ahli Parlimen untuk menghadiri sesi Parlimen kerana kita akan mengundi untuk beberapa rang undang-undang penting,” katanya.

Wan Junaidi berkata sembilan rang undang-undang dijangka dibentangkan pada sesi Parlimen akan datang, dijadual bermula pada 28 Feb tahun depan.

Beliau berkata antara rang undang-undang itu ialah mengenai pembaharuan Parlimen, yang dijadual dibentangkan kepada Yang Dipertua Dewan Rakyat dan Dewan Negara pada pertengahan Januari tahun depan dan dibentangkan di Parlimen pada Mac.

BERITA BERKAIT
POPULAR