
Seramai 403,637 calon akan menduduki peperiksaan bertulis Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) 2022 yang bermula esok (20 Februari 2023) hingga 15 Mac 2023. - Gambar hiasan
Sesi kedua peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) 2021 ditetapkan pada 5 April hingga 19 Mei ini, kata Kementerian Pendidikan (KPM), hari ini.
Menteri Kanan Pendidikan Datuk Dr Radzi Jidin berkata sesi itu adalah untuk pelajar yang tidak dapat menduduki peperiksaan SPM 2021 akibat Covid-19 atau terkesan dengan bencana banjir baru-baru ini.
Katanya sesi kedua itu melibatkan Ujian Bertutur dan Ujian Mendengar (Bahasa Melayu dan Bahasa Inggeris), Ujian Amali Sains dan Ujian Bertulis.
“Calon tersebut adalah yang disahkan positif Covid-19 dan perlu menjalani tempoh kuarantin seperti yang diarahkan oleh Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM).
“Selain itu, calon yang terkesan akibat banjir atau kes-kes khas yang mendapat kelulusan Pengarah Peperiksaan,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Mengulas lanjut, dalam kenyataan KPM yang dikongsi Radzi dalam Facebook, Lembaga Peperiksaan Malaysia (LPM) turut memberi peringatan buat semua calon terlibat untuk melakukan persediaan mulai 1 April ini.
Antara persediaan yang perlu dilakukan adalah menyemak, mengesahkan dan mencetak Pernyataan Pendaftaran Peperiksaan.
Pernyataan Pendaftaran Peperiksaan itu mengandungi maklumat pusat peperiksaan yang ditetapkan, tarikh, masa, kod dan kertas peperiksaan.
“Semua maklumat tersebut boleh didapati melalui pautan https://elp.moe.gov.my atau melalui aplikasi mobile e-Lembaga Peperiksaan yang boleh dimuat turun melalui Google Play Store.
“Calon juga diingatkan supaya membawa dokumen pengenalan diri dan Pernyataan Pendaftaran Peperiksaan yang dicetak ke pusat peperiksaan. Calon juga hendaklah mematuhi Garis Panduan Pengurusan Pentaksiran Pusat dan Peperiksaan Awam,” kata kenyataan itu.