Sesak di unit ICU, hati netizen tersentuh, titip doa

Kadar penggunaan katil rawatan kritikal atau unit rawatan rapi (ICU) Covid-19 semakin kritikal.

Perkongsian gambar-gambar kesesakan dalam Unit Rawatan Rapi (ICU) di Hospital Sungai Buloh oleh Ketua Pengarah Kesihatan Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah di akaun peribadi Facebooknya hari ini menyentuh hati netizen.

Mana tidaknya, perkongsian itu yang turut disertakan dengan ucapan semangat kepada petugas kesihatan yang kini sedang berhadapan dengan peningkatan kemasukan pesakit Covid-19 menyebabkan jiwa warganet meruntun mengenangkan nasib yang dialami oleh para petugas ketika ini.

“Semoga petugas kesihatan terus diberi kekuatan untuk menghadapi situasi getir ini,” katanya.

Kongsi Noor Hisham lagi, bilangan pesakit Covid-19 yang dimasukkan ke ICU dan kritikal semakin bertambah setiap hari, menyebabkan keadaan di hospital semakin sesak.

Tersentuh dengan keprihatinan Noor Hisham itu, Siti Norsiah Ahmad menerusi komentarnya menitipkan doa buat mereka semua.

“Semoga Allah merahmati para petugas kesihatan semua, kepada yang sakit semoga Allah permudahkan urusan perubatan dan diberi kesembuhan oleh-Nya. Amin,” katanya.

Sementara itu, Zoniyah Yayah pula berkata dia amat sedih melihat keadaan di hospital tersebut, dan merayu kepada orang ramai supaya mematuhi Produser Operasi Standard (SOP) yang ditetapkan supaya keadaan segera pulih.

“Sedih tengok keadaan KKM merawat pesakit Covid-19. Tolong la patuhi SOP. Sesiapa yang degil tu tolong la Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) memerangi pandemik ini,” katanya.

Dalam pada itu, menurut Hanim Suhada Abd Hamid, perkongsian gambar itu jelas menunjukkan kebimbangan Noor Hisham terhadap peningkatan kes semasa Covid-19.

“Jelas kebimbangan Tan Sri terhadap peningkatan kes semasa dan kemampuan sistem kesihatan kita. Kalau dibenarkan rentas negeri, ramai sekali kalangan berisiko tinggi khususnya warga emas akan jadi mangsa,” katanya.

Terdahulu, kadar penggunaan katil rawatan kritikal atau unit rawatan rapi (ICU) Covid-19 di Lembah Klang keseluruhannya telah mencapai 90 peratus.

Enam hospital yang melebihi paras amaran kadar penggunaan katil melebihi 70 peratus iaitu Hospital Sungai Buloh, Hospital Kuala Lumpur, Hospital Ampang, Hospital Serdang, Hospital Selayang dan Hospital Tengku Ampuan Rahimah Klang, dengan ada antaranya telah pun menghampiri 100 peratus.

Jumlah keseluruhan kes Covid-19 setakat semalam mencecah 411,594 kes.

POPULAR