Serbuan gempur ‘Geng Nicky’ ikut SOP: Ayob Khan

Trigon Residence Setiawalk, Puchong, Selangor yang diserbu polis ketika memburu 'Geng Nicky'.

Serbuan dalam Ops Pelican 3.0 memburu dan menggempur ‘Geng Nicky’ di Trigon Residence Setiawalk, Puchong, Selangor pada 20 dan 21 Mac dilakukan prosedur operasi standard, tegas Ketua Polis Johor, Datuk Ayob Khan Mydin Pitchay

Katanya, ketika serbuan itu sebanyak 45 unit kondominium digeledah dengan cara memecahkan tombol pintu dan penggeledahan dibuat berdasarkan maklumat risikan dan atas sebab-sebab yang munasabah.

“Ini termasuk selepas polis mengesyaki kondominium terbabit menjadi tempat persembunyian geng berkenaan dan menyimpan dokumen atau harta-harta terlibat.

“Serbuan dan penggeledahan juga mematuhi peruntukan undang-undang Kanun Tatacara Jenayah dan Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah-Langkah Khas) 2012,” katanya dalam kenyataan di Johor, hari ini.

Kenyataan itu dikeluarkan sebagai menjawab luahan penduduk kondominium tersebut selepas kediaman mereka rosak susulan serbuan berkenaan.

Serbuan itu membabitkan 220 pegawai dan anggota polis daripada pelbagai jabatan, melibatkan Ibu Pejabat Polis Kontinjen Johor dan Pasukan Gerakan Am Batalion 4, Cheras, Kuala Lumpur, lapor Bernama.

Geng Nicky dipercayai diketuai oleh seorang lelaki tempatan bergelar ‘Datuk Seri’, dikenali Nicky Liow Soon Hee, 33, yang kini dalam buruan polis kerana disyaki terbabit dalam pelbagai jenayah terancang seperti penipuan dan pengubahan wang haram.

Liow juga adalah pengasas Winner Dynasty Group yang berpusat di Setiawalk, Puchong.

POPULAR