Serang hakim Mohd Nazlan taktik kotor untuk cemari badan kehakiman Malaysia

Rasa tidak puas hati terhadap sabitan hukuman bekas Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak berhubung penyelewengan RM42 juta dana SRC International Sdn Bhd harus ditangani secara langsung melalui rayuan di mahkamah, bukannya melalui taktik kotor untuk menyerang hakim perbicaraan.

Sehubungan itu, Ahli Jawatankuasa Parti Ikatan Demokratik Malaysia (MUDA) Lim Wei Jiet mengetengahkan bahawa serangan terhadap Hakim Mahkamah Rayuan Datuk Mohd Nazlan Mohd Ghazali telah dilakukan seorang blogger yang kontroversi dan tidak berkredibiliti.

Lim yang juga seorang peguam berkata demikian dalam kenyataan mempertahankan hakim yang menjalankan amanah tanpa rasa takut atau pilih kasih, di akaun Twitternya hari ini.

Menurutnya Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Tan Sri Azam Baki menyatakan bahawa agensi itu telah memulakan siasatan terhadap Mohd Nazlan atas aduan jumlah wang yang tidak dapat dijelaskan di dalam akaun miliknya.

Katanya Azam menjelaskan bahawa kertas siasatan telah dibuka mengikut prosedur apabila suatu laporan telah dibuat secara rasmi.

Berita berkaitan: Hakim jatuh hukuman kes SRC Najib kini disiasat SPRM 

“Pertama sekali adalah tidak tepat apabila SPRM mencadangkan bahawa kertas siasatan mesti dibuka secara automatik sebaik sahaja suatu laporan dibuat.

“Undang-undang memperuntukkan pihak berkuasa untuk tidak melayan aduan tidak berasas pada tahap awal supaya tidak membuang masa dan tenaga semua pihak, terutama apabila aduan sebegitu mula-mula timbul daripada seorang blogger yang kontroversi dan tidak berkredibiliti,” katanya.

Lim juga berkata apa yang mengecewakan ialah siasatan oleh SPRM kini digunakan oleh ahli politik tertentu yang tidak bertanggungjawab untuk menimbulkan keraguan terhadap integriti badan kehakiman dan Mohd Nazlan sendiri.

Serangan sedemikian katanya, akan menghilangkan kepercayaan orang ramai terhadap badan kehakiman, terutama apabila melibatkan perbicaraan SRC dan 1Malaysia Development Berhad (1MDB) yang diawasi dengan teliti di seluruh dunia.

“Sebarang ketidakpuasan hati terhadap sabitan Najib oleh Mahkamah Tinggi harus dibawa ke peringkat rayuan, dan bukan melalui taktik kotor yang didorong oleh politik sebegini,” katanya.

Menurutnya MUDA bimbang dengan corak baru-baru ini oleh sesetengah pihak di luar sistem kehakiman yang cuba campur tangan dalam sabitan Najib.

“Dunia sedang memerhati dan jika benar-benar berlaku campur tangan, ini akan membawa kesan yang amat teruk terhadap ekonomi dan sistem demokrasi negara.

“Kita tidak boleh membiarkan ahli politik yang mementingkan diri sendiri menjejaskan hakim tertentu supaya ia sesuai dengan matlamat politik mereka. Badan kehakiman adalah salah satu institusi bebas terakhir yang berdiri – tolong bantu mempertahankannya,” katanya.

Majlis Peguam juga berpendapat siasatan SPRM ke atas Mohd Nazlan boleh dilihat sebagai menjejaskan kebebasan mahkamah dan melanggar doktrin pengasingan kuasa dan tidak berperlembagaan, menekankan bahawa sudah ada mekanisme perlembagaan sedia ada dalam Perlembagaan Persekutuan untuk menangani aduan tentang salah laku kehakiman.

Dalam menyokong hakim yang bebas dan berintegriti, Majlis Peguam juga memberi amaran bahawa Malaysia tidak harus menyerah kepada pendekatan mudah dalam mengendalikan “suara-suara tidak bertanggungjawab” yang menggunakan papan kekunci dengan melakukan serangan dalam talian terhadap kebebasan mahkamah.

Sebelum ini, Ahli Parlimen Bagan Lim Guan Eng berkata dakwaan Raja Petra “secara konsisten terbukti palsu dan tidak berasas” dan bahawa penulis blog yang didakwa “bersembunyi” di London perlu diminta pulang ke Malaysia untuk menghadapi siasatan berhubung dakwaannya terhadap Mohd Nazlan.

21 April lalu, Mohd Nazlan membuat laporan polis berhubung satu artikel mendakwa beliau sedang disiasat kerana wang yang tidak dapat dijelaskan dalam akaun banknya.

Pejabat Ketua Pendaftar Mahkamah Persekutuan dalam kenyataan hari ini berkata, laporan itu dibuat bagi menafikan tuduhan palsu dan tidak berasas yang berniat menjatuhkan kredibiliti Mohd Nazlan sebagai hakim selain mengganggu sistem keadilan serta institusi kehakiman.

“Pejabat ini memandang serius terhadap tuduhan dan komen seperti ini dan mengingatkan orang ramai bahawa tuduhan terhadap badan kehakiman bertujuan mengganggu-gugat kes-kes yang sedang dalam proses perbicaraan adalah satu pelanggaran prinsip sub judice,” katanya.

Berita berkaitan: Hakim Mahkamah Rayuan lapor polis artikel wang RM1 juta dalam akaun 

Serangan dalam talian terhadap Mohd Nazlan sebagai hakim perbicaraan SRC baru-baru ini, mula muncul lebih  satu setengah tahun selepas keputusannya pada Julai 2020 yang mendapati Najib bersalah, atau dengan kata lain hanya kira-kira tiga bulan selepas Mahkamah Rayuan mengekalkan keputusan Mahkamah Tinggi mengenai sabitan kes itu.

Najib hari ini mengemukakan petisyen rayuan kepada Mahkamah Persekutuan berhubung dua keputusan mahkamah itu.

BERITA BERKAIT
POPULAR