Seramai 52,774 remaja berusia 12-17 tahun sudah lengkap vaksin

Seramai 52,774 atau 1.7 peratus remaja berusia 12 hingga 17 tahun dalam negara telah lengkap menerima vaksin Covid-19 jenis Cominarty setakat 30 Sept lepas, kata Timbalan Menteri Kesihatan I Datuk Dr Noor Azmi Ghazali.

Dalam satu kenyataan, Dr Noor Azmi yang juga Pengerusi Pasukan Bertindak Imunisasi Covid-19 Remaja (PICK-Remaja) berkata pada masa yang sama 1,498,274 atau 47.6 peratus telah menerima sekurang-kurangnya satu dos vaksin berkenaan.

Katanya setakat ini lima negeri dengan pencapaian vaksinasi tertinggi dalam kumpulan remaja terdiri daripada Wilayah Persekutuan Labuan dengan 77.6 peratus, diikuti Kedah (67.1 peratus), Sarawak (62.7 peratus) Perlis (61.8 peratus) dan Melaka (59.4 peratus).

Sementara itu Dr Noor Azmi berkata PICK-Remaja turut memberi perhatian kepada golongan remaja Orang Kurang Upaya (OKU) tanpa mengira status warganegara atau jenis ketidakupayaan, dan pelaksanaan pemberian vaksin kepada remaja OKU akan dilaksanakan dengan beberapa kaedah mengikut kategori mereka.

Beliau berkata Sistem Maklumat Orang Kurang Upaya (SMOKU) di bawah Jabatan Kebajikan Masyarakat Malaysia (JKM) melaporkan bahawa 67,676 remaja OKU berusia 12 hingga 17 tahun berdaftar dengan JKM sehingga 31 Ogos lepas.

“Seramai 51,361 (75.8 peratus) adalah remaja OKU dalam sistem pendidikan dan daripada jumlah ini 793 (1.5 peratus) merupakan Murid Berkeperluan Khas (MBK) yang berada di sekolah berasrama,” katanya.

Beliau berkata remaja OKU juga berada di 705 buah institusi pemulihan harian seperti Pusat Pemulihan Dalam Komuniti (PDK) dan Institusi jagaan OKU kerajaan dan swasta, serta 21 buah institusi OKU berkediaman,” katanya.

Katanya pendaftaran remaja OKU yang berada di institusi perlindungan, pemulihan dan pendidikan sama ada berdaftar atau tidak berdaftar perlu dilakukan oleh pengetua, pengusaha atau penyelia institusi masing-masing melalui portal Vaksin Anakku.

Dr Noor Azmi berkata bagi Remaja OKU bersekolah harian, mereka akan diberi vaksinasi secara berjadual di Pusat Pemberian Vaksin (PPV) atau sekolah, dan remaja OKU bersekolah asrama pula akan menerima janji temu vaksinasi melalui aplikasi MySejahtera.

Bagi remaja OKU dengan masalah tingkah laku seperti Autism Spectrum Disorder, Attention Deficit Hyperactivity Disorder (ADHD), remaja OKU Mental atau dengan komorbid yang lain; pemberian vaksinasi boleh dilakukan di klinik kesihatan atau hospital kerajaan yang berdekatan dengan rumah.

“Senarai nama remaja OKU ini akan dikumpul di peringkat Pejabat Pendidikan Daerah (PPD) atau Pejabat Kebajikan Masyarakat Daerah (PKMD) untuk diserahkan kepada Pejabat Kesihatan Daerah (PKD),” katanya.

Bagi Remaja OKU terlantar pula, katanya proses pemberian vaksin kepada mereka di institusi dan yang terlantar di rumah akan dilakukan secara khidmat masyarakat (outreach) dan berjadual oleh pasukan pelaksana vaksinasi yang terdiri daripada kakitangan kesihatan, pengamal perubatan swasta, atau pasukan kesihatan pertubuhan bukan kerajaan (NGO).

“Remaja OKU terlantar di komuniti dikenal pasti melalui sama ada daripada senarai penerima Bantuan Pesakit Terlantar di bawah JKM atau senarai berdaftar dengan PDK atau pendaftaran remaja OKU terlantar di rumah.

“Bagi remaja OKU terlantar yang tiada dalam senarai di atas, ibu bapa atau penjaga boleh hadir ke klinik kesihatan berdekatan, atau memaklumkan kepada Pejabat Kebajikan Masyarakat Daerah atau Majlis Pengurusan Komuniti Kampung (MPKK) untuk mendaftarkan remaja itu bagi mendapatkan vaksinasi,” katanya.

BERITA BERKAIT
POPULAR