Seramai 38,748 pelancong direkodkan di Langkawi

Projek rintis gelembung pelancongan di Pulau Langkawi, Kedah, mencapai kejayaan membanggakan selepas merekodkan ketibaan 38,748 pelancong dan menjana pendapatan lebih RM15 juta sejak dibuka pada 16 Sept lepas.

Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya Datuk Seri Nancy Shukri berkata jumlah tersebut lebih tinggi daripada sasaran awal sebanyak 30,000 orang dan disifatkan sangat memberangsangkan.

“Kami berharap dapat mengumumkan kebenaran rentas negeri sedikit masa lagi dan menjelang pengumuman itu, kami boleh buka gelembung pelancongan di tempat lain,” katanya lapor Bernama.

Beliau terdahulu mengadakan lawatan kerja ke Kampung Budaya Sarawak hari ini.

Nancy berkata kerajaan juga sedang menimbangkan untuk menjadikan Langkawi sebagai destinasi gelembung pelancongan antarabangsa pertama di negara ini.

“Minggu depan saya akan berbincang dengan rakan sejawat dari negara-negara lain dan kami akan mengaturkannya (gelembung pelancongan). Langkawi merupakan model terbaik untuk inisiatif ini kerana kita ada Qatar Airways dan beberapa penerbangan antarabangsa lain yang akan tiba di pulau itu,” katanya.

Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif Lembaga Pembangunan Langkawi (LADA) Nasaruddin Abdul Muttalib berkata daripada 38,748 pelancong yang tiba di pulau peranginan itu, seramai 26,377 orang tiba melalui Lapangan Terbang Antarabangsa Langkawi, manakala 7,480 orang lagi melalui Jeti Kuah.

“Satu lagi pintu masuk utama iaitu Dermaga Tanjung Lembung (Langkawi Port) merekodkan kemasukan kira-kira 4,891 pelancong,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Nasaruddin berkata sekiranya jumlah kemasukan pelancong itu dapat dikekalkan tidak mustahil sasaran kerajaan untuk menerima sekitar 400,000 pelancong sehingga Disember ini mampu dicapai.

Dalam pada itu, Nasaruddin berkata LADA berharap Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya (MOTAC) dan Majlis Keselamatan Negara membuka semula sektor pelancongan pulau itu kepada pasaran antarabangsa seawal bulan depan atau Disember sekiranya bersesuaian.

“Ketika ini, usaha pembentukan prosedur operasi standard (SOP) gelembung pelancongan antarabangsa sudah mula digerakkan dengan kerjasama MOTAC, tertakluk kepada kelulusan kerajaan Persekutuan,” katanya.

Nasaruddin berkata rundingan bersama beberapa syarikat penerbangan tempatan dan antarabangsa seperti Qatar Airways, AirAsia Bhd dan Scoot Tigerair Pte Ltd juga telah dimulakan bagi merancang aturan perjalanan penerbangan berjadual dan dari negara-negara tertentu.

Dalam perkembangan lain, Nancy berkata kerajaan Persekutuan memperuntukkan RM5 juta kepada Kampung Budaya Sarawak bagi menaik taraf infrastruktur di kawasan itu.

“Kerja-kerja penambahbaikan fizikal di Kampung Budaya Sarawak akan bermula pada pertengahan bulan ini dan mengambil masa lebih kurang lapan bulan untuk disiapkan iaitu pada Jun 2022,” katanya.

BERITA BERKAIT
POPULAR