Sepuluh kematian semalam, kes aktif melonjak lebih 100 ribu

Kematian akibat komplikasi Covid-19 kekal rendah apabila semalam, hanya 10 kes dicatat di lapan negeri, termasuk satu kematian di luar hospital atau kes BID, tatkala jumlah kes aktif kini melonjak melebihi 100,000.

Jumlah itu menjadikan keseluruhannya sejak awal 2020 lalu, 32,075 pesakit meninggal dunia, termasuk 6,474 kes BID, lapor Kementerian Kesihatan (KKM), hari ini.

Statistik laman sesawang Covidnow menunjukkan Perak dan Selangor masing-masing mencatat dua kes kematian, diikuti masing-masing satu di Johor, Kedah, Kelantan, Melaka, Negeri Sembilan dan Pulau Pinang.

Jumlah terkumpul kematian di Selangor sejak awal 2020 lalu kini mencecah 10,072, manakala bagi Perak pula seramai 1,454 kes.

Sehingga semalam, Selangor menjadi negeri tertinggi merekodkan jumlah kumulatif kes positif iaitu sebanyak 839,789 kes, dengan 804,113 daripada pesakit telah sembuh dan 25,604 kes masih aktif.

Daripada jumlah kes aktif itu seramai 24,218 pesakit menjalani kuarantin di rumah, 402 ditempatkan di PKRC, 968 dimasukkan ke hospital; dan 16 dirawat di unit rawatan rapi (ICU), 10 daripadanya yang memerlukan alat bantuan pernafasan.

Sementara, Perak merekodkan kumulatif positif sebanyak 136,095 kes, dengan 131,899 pesakit telah sembuh dan 2,742 kes masih aktif.

Kes aktif itu termasuk 2,275 yang menjalani kuarantin di rumah; 88 ditempatkan di PKRC; 372 dimasukkan ke hospital; dan tujuh dirawat di ICU, dengan lima memerlukan alat bantuan pernafasan.

Sementara itu sehingga semalam, negara mencatat 2,975,422 kumulatif kes positif dengan 2,835,464 pesakit telah sembuh, dan 107,883 kes masih aktif, melonjak 13,368 kes berbanding kelmarin sebanyak 94,515 kes.

Daripada jumlah kes aktif itu, 96,655 pesakit menjalani kuarantin di rumah; 5,751 ditempatkan di PKRC; 5,319 dimasukkan ke hospital; dan 158 dirawat di ICU, dengan 78 memerlukan alat bantuan pernafasan.

BERITA BERKAIT
POPULAR