Seorang lagi Kluster Mahkamah dibenar keluar negara

Sorang lagi individu daripada ‘Kluster Mahkamah’ hari ini memperoleh pelepasan sementara pasportnya untuk keluar negara walaupun masih berdepan pertuduhan rasuah.

Ahli Parlimen Kinabatangan Datuk Seri Bung Moktar Radin mendapat kebenaran sementara itu daripada Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur bagi membolehkan beliau ke Arab Saudi bagi urusan rasmi.

Perkara itu dimaklumkan oleh peguamnya, Teh See Khoon, ketika dihubungi pemberita hari ini.

“Semalam, mahkamah (Hakim Rozina Ayob) membenarkan pelepasan pasport Bung Moktar bermula 10 hingga 22 November ini dan beliau perlu mengembalikan pasport itu kepada mahkamah pada 22 November.

“Permohonan untuk mendapatkan pasport itu dibuat berikutan anak guam kami mempunyai urusan rasmi di Arab Saudi,” katanya sambil menambah pendakwaan tidak membantah permohonan itu.

Beliau berkata perbicaraan kes anak guamnya akan bersambung pada 26 November.

Pada 3 Mei 2019, Bung Moktar mengaku tidak bersalah atas dua pertuduhan menerima rasuah berjumlah RM2.2 juta dan RM262,500 sebagai dorongan mendapatkan kelulusan Felcra untuk membuat pelaburan RM150 juta dalam unit amanah Public Mutual.

Bung Moktar, 62, yang merupakan Pengerusi Bukan Eksekutif Felcra ketika itu, didakwa menerima rasuah daripada ejen pelaburan Public Mutual iaitu Madhi Abdul Hamid, 38, menerusi isterinya Datin Seri Zizie Izette A Samad di Public Bank cawangan Taman Melawati di sini antara 12.30 tengah hari dan 5 petang 12 Jun 2015.

Beliau juga mengaku tidak bersalah menerima suapan wang tunai sebanyak RM335,500 daripada seorang lagi ejen pelaburan Public Mutual iaitu Norlaili Ahmad Mokhtar, 42, di bawah nama Zizie Izette atas sebab sama dan di tempat sama pada 19 Jun 2015.

Zizie Izette pula mengaku tidak bersalah atas tiga pertuduhan bersubahat dengan suaminya berhubung perkara itu di tempat, tarikh dan masa yang sama.

Terdahulu, mahkamah memberi pelepasan sementara pasport kepada bekas Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak dan isteri Datin Seri Rosmah Mansor untuk melawat anaknya yang bersalin di Singapura.

Najib kemudian mendapat kebenaran pelanjutan pelepasan sementara pasport dan mengubah tarikh, kerana menurutnya beliau telah diamanah untuk menjaga UMNO dan memastikan gerak kerja parti itu berjalan lancar bagi menghadapi Pilihan Raya Negeri Melaka, ketika ketiadaan Presiden Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi.

Sebelum itu, mahkamah juga memberi pelepasan pasport kepada Zahid untuk menjalani rawatan sakit belakang di Jerman.

Kedua-duanya sedang berdepan puluhan tuduhan jenayah di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur dan Shah Alam, termasuk rasuah, penyalahgunaan kuasa dan penyelewengan membabitkan jutaan ringgit.

BERITA BERKAIT
POPULAR