Seorang lagi individu pulang Umrah sah positif Omicron di Perak

Seorang lagi warga tempatan yang baharu pulang dari menunaikan umrah di Arab Saudi, baru-baru ini disahkan positif varian Omicron di Perak.

Terdahulu, kes pertama dikesan membabitkan seorang pengembara wanita bukan warganegara berusia 19 tahun yang tiba di Malaysia pada 19 November lalu.

Kes terbaharu varian tersebut disahkan Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan, Sains, Alam Sekitar dan Teknologi negeri, Mohd. Akmal Kamarudin yang berkata hanya seorang sahaja jemaah dari negeri ini yang tiba dari Arab Saudi di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA), Sepang yang dilaporkan positif Covid-19 melibatkan varian Omicron, manakala selebihnya negatif.

“Di Perak ada satu kes rakyat tempatan balik daripada menunaikan umrah dijangkiti varian Omicron menjadikannya kes kedua dilaporkan selepas kes pertama melibatkan pelajar dari Afrika sebelum ini.

“Kes kedua ini dikesan semasa individu berkenaan menjalani kuarantin selepas pulang dari Arab Saudi dan tindakan pantas kerajaan dapat membendung penularan,” katanya hari ini.

Beliau terdahulu merasmikan majlis penutup Hari Alam Sekitar Negara 2021 Peringkat Negeri Perak.

Menurut Mohd. Akmal, keadaan masih terkawal meskipun Perak mencatatkan kes kedua melibatkan varian Omicron memandangkan kerajaan negeri bersama agensi dan jabatan terlibat sentiasa memantau perkara tersebut.

“Setakat ini keadaan di Perak masih terkawal kerana ia melibatkan usaha pelbagau pihak serta semua individu yang dikuarantin dipakaikan gelang digital bagi mengesan pergerakan mereka.

“Selain itu Pejabat Kesihatan Daerah (PKD) juga sentiasa memantau individu-individu yang dikuarantin disamping kerjasama di kalangan jemaah umrah yang pulang menjalani kuarantin di rumah,” katanya lagi.

Mohd. Akmal turut menasihatkan jemaah umrah agar sentiasa mematuhi prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan dengan menjalani kuarantin selama tujuh hari.

“Jangan balik umrah menganggap perkara ini sebagai remeh kerana tiada simptom hingga menerima tetamu, rupa-rupanya tidak sedar ada membawa virus ini.

“Kita minta kerjasama semua pihak termasuk agensi pelancongan untuk mengingatkan peserta agar terus berdisiplin menjalani kuarantin bagi mengekang penularan varian ini,” katanya.

Sementara itu, difahamkan individu yang dilaporkan positif Covid-19 melibatkan varian Omicron berkenaan tiba di KLIA pada 14 Disember lalu.

Individu berkenaan berada di kategori kedua jangkitan Covid-19 selain turut menunjukkan simptom jangkitan.

BERITA BERKAIT
POPULAR