
Peguam Tan Sri Muhammad Shafee Abdullah dan Datuk Seri Najib Razak.
Tan Sri Muhammad Shafee Abdullah yang mewakili bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak memulakan prosiding perbicaraan rayuan anak guamnya dengan menyasarkan seorang Hakim Mahkamah Rayuan, Abu Bakar Jais.
Peguam Najib itu membantah Abu Bakar daripada menjadi anggota panel hakim yang bersidang di Mahkamah Persekutuan hari ini bagi mendengar permohonan semakan semula berhubung sabitan serta hukuman kerana menyeleweng RM42 juta dana SRC International Sdn Bhd.
Peguam itu berkata Abu Bakar tidak seharusnya menganggotai panel yang mendengar permohonan tersebut dan mahu hakim itu menarik diri atas alasan hanya hakim Mahkamah Persekutuan yang sepatutnya mendengar permohonan semakan itu.
Muhammad Shafee berkata mengikut Seksyen 74 Akta Mahkamah Kehakiman 1974, komposisi hakim Mahkamah Persekutuan mestilah terdiri daripada semua hakim Mahkamah Persekutuan.
“Ini bukan soal peribadi kerana saya mengenali hakim Abu Bakar sejak dalam perkhidmatan lagi,” katanya.
Timbalan Pendakwa Raya Datuk V. Sithambaram berkata hakim Mahkamah Rayuan dibenarkan bersidang di Mahkamah Persekutuan di bawah Perkara 122 (2) Perlembagaan Persekutuan.
Beliau berhujah bahawa bantahan terhadap hakim perlu menunjukkan bahaya berlakunya berat sebelah.
Abu Bakar antara panel lima hakim yang diketuai Hakim Besar Sabah dan Sarawak Datuk Abdul Rahman Sebli untuk mendengar permohonan semakan Najib itu.
Hakim lain dalam panel itu ialah hakim Mahkamah Persekutuan Datuk Vernon Ong Lam Kiat, Datuk Rhodzariah Bujang dan Datuk Nordin Hassan.
Najib sedang berusaha untuk membatalkan keputusan yang dibuat oleh lima hakim Mahkamah Persekutuan yang diketuai oleh Ketua Hakim Negara Tun Tengku Maimun Tuan Mat pada 23 Ogos tahun lepas dalam mengekalkan sabitan dan hukuman penjara 12 tahun dan denda kerana menyeleweng RM42 juta dana SRC International.