Senja pilu di Tanah Perkuburan Islam Seksyen 21 Shah Alam

Suasana senja di Tanah Perkuburan Islam Seksyen 21, Shah Alam, semalam tidak seperti hari-hari biasa.

Deretan van jenazah dilihat keluar masuk ke tanah perkuburan itu bagi proses pengebumian dipercayai melibatkan jenazah pesakit Covid-19.

Suasana pilu dirasai di luar kawasan tanah perkuburan tersebut dengan kedengaran esak tangisan serta alunan bacaan ayat suci al-Quran oleh waris-waris jenazah yang setia menunggu sejak jam 4.30 petang tadi.

Bernama melaporkan deretan enam van jenazah yang dipandu petugas kesihatan lengkap berpakaian perlindungan diri (PPE) diiringi anggota polis dilihat tiba di pintu pagar utama tanah perkuburan itu pada jam 7.40 malam, disusuli enam lagi jenazah dibawa oleh pasukan sama pada jam 9.20 malam.

Media difahamkan oleh seorang daripada penggali kubur di tanah perkuburan itu, sejak pagi hingga 5 petang tadi sebanyak 14 jenazah pesakit Covid-19 telah selesai dikebumikan dengan prosedur operasi standard (SOP) yang ketat.

Wartawan dan jurugambar yang menunggu sejak petang tadi juga tidak dibenarkan masuk ke kawasan tanah perkuburan tersebut.

Petugas khas berpakaian PPE mengebumikan jenazah seorang mangsa Covid-19 di Tanah Perkuburan Islam Seksyen 21, Shah Alam, malam tadi. – Gambar oleh Shahir Omar/Astro Awani

Sementara itu, seorang anak kepada jenazah yang dikebumikan, Irwan Tukiman, 39, berasa terkilan kerana tidak dapat menyempurnakan pengebumian bapanya Tukiman Roslan, 75, yang menghembuskan nafas terakhir di Hospital Tuanku Ampuan Rahimah (HTAR) pada 7.52 pagi, Rabu lepas.

“Arwah bapa saya dimasukkan ke hospital sejak 4 Julai lepas akibat komplikasi pernafasan dan kurang tenaga kerana tiada selera makan. Arwah juga mempunyai kencing manis, darah tinggi serta kanser kelenjar air liur tetapi tidak menjalani kimoterapi.

“Saya hanya sempat membuat panggilan video dengan arwah sehari sebelum arwah meninggal dan ketika itu bapa boleh duduk dan tidak menunjukkan apa-apa tanda yang dia akan pergi selamanya” katanya kepada pemberita.

Irwan berkata 12 ahli keluarganya, termasuk arwah bapanya yang berasal dari Batu 10, Kebun Baru, Telok Panglima Garang, Kuala Langat, dijangkiti Covid-19 dan sebahagian daripada mereka ditempatkan di Pusat Kuarantin dan Rawatan Covid-19 (PKRC) Bersepadu 2.0 di Taman Ekspo Pertanian Malaysia (MAEPS) Serdang manakala arwah ditempatkan di HTAR.

Sehingga 12 tengah hari tadi sebanyak 12,541 kes positif harian direkodkan seluruh negara hari ini di mana Selangor masih mencatatkan kes tertinggi sebanyak 5,512 kes.

Sebanyak 53 kes kematian dicatatkan hari ini menjadikan jumlah keseluruhan 2,264 kes kematian di Selangor.

BERITA BERKAIT
POPULAR