Senarai individu dilarang masuk Malaysia diaktifkan semula: Hamzah

Kementerian Dalam Negeri (KDN) mengaktifkan semula rekod individu yang sudah disenaraihitamkan daripada memasuki negara ini selepas pintu masuk sempadan negara dibuka semalam.

Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Hamzah Zainudin berkata tindakan itu penting dilakukan bagi memastikan individu terbabit tidak terlepas masuk ke Malaysia, kerana dibimbangi boleh meningkatkan kadar jenayah.

“Selepas semua jemaah menteri bersetuju membuka pintu sempadan pada 1 April, saya mengarahkan semua agensi bersiap siaga dalam pelbagai aspek malah kita sudah pun bersiap sedia sejak sebulan lalu.

“Kita mengalu-alukan sesiapa sahaja datang ke Malaysia, namun pada masa sama kita kena sedia dari segi keselamatan dan keperluan mengikut prosedur operasi standard (SOP) ditetapkan Kementerian Kesihatan.

“Ada antara mereka yang telah kita letakkan sebagai ‘senarai hitam’ dan individu ini kita akan pastikan mereka tidak terlepas atau dibenarkan masuk ke dalam negara bagi memastikan keselamatan rakyat,” katanya hari ini.

Beliau berkata, pasukan keselamatan negara juga sudah bersiap sedia membuat pemantauan ketat bagi menghalang sesiapa sahaja yang cuba masuk ke negara ini untuk melakukan jenayah seperti penyeludupan.

Ditanya mengenai persediaan KDN terhadap memorandum persefahaman (MoU) bagi pengambilan dan perlindungan Pekhidmat Domestik Indonesia (PDI) di Malaysia yang dimeterai semalam, Hamzah menegaskan akan mengambil tindakan undang-undang terhadap sesiapa sahaja yang masuk ke negara ini dan melakukan kekerasan terhadap pembantu rumah.

“Kita masih lagi ada undang-undang. Jika salah kita tangkap. Bukan sahaja orang luar, orang dalam negara ini yang dikesan melakukan kekejaman kepada pembantu rumah kita akan hadap ke muka pengadilan,” katanya.

Mengenai langkah menangani aktiviti penyeludupan pula, Hamzah berkata, usaha tersebut dilakukan secara berterusan seperti mana pintu sempadan belum dibuka sebelum ini.

Katanya, KDN menyedari kegiatan tersebut bukan hanya berlaku ketika sempadan negara dibuka sahaja.

“Mereka memang sentiasa mencari jalan untuk membawa masuk dan melakukan perkara yang tidak diingini.

“Contohnya masalah narkotik dadah, kita telah pun lihat sehari dua ini kita bekerja kuat untuk memastikan bahawa sesiapa sahaja yang cuba untuk membawa masuk dadah ke dalam negara akan kita pastikan mereka ini ditangkap dan bawa mereka ke mahkamah,” katanya.

BERITA BERKAIT
POPULAR