Semua negeri catat penurunan kes, kali pertama sejak hampir setahun

Semua negeri dan Wilayah Persekutuan tidak merekodkan peningkatan jangkitan, kali pertama sejak lebih setahun lalu, seiring dengan penurunan jumlah kes baharu keseluruhan hari ini.

Dalam tempoh 24 jam sehingga 12 tengah hari tadi sebanyak 4,854 jangkitan baharu dilaporkan di seluruh negara, turun berbanding 5,859 kes semalam.

Bagaimanapun, Selangor kekal merekodkan jumlah kes harian tertinggi apabila mencatatkan 1,365 kes baharu, berbanding 1,528 kes semalam.

Sejak awal tahun lalu hingga hari ini, Selangor merekodkan 740,279 kes positif dengan 712,905 pesakit disahkan sembuh, dan 9,727 kematian.

Sehingga semalam, negeri itu mencatat 17,822 kes aktif dengan 15,395 pesakit dikuarantin di rumah; 1,312 ditempatkan di PKRC; 1,032 dimasukkan ke hospital; dan 83 pesakit dirawat di unit rawatan rapi (ICU), termasuk 45 yang memerlukan alat bantuan pernafasan.

Sementara itu, Ketua Pengarah Kesihatan Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah berkata tiga kluster baharu dikesan dalam tempoh 24 jam itu, menjadikan keseluruhannya 5,881 kluster dengan 5,646 telah ditamatkan dan 235 kluster lagi masih aktif.

Menurutnya, jumlah pesakit yang sembuh hari ini juga mengatasi kes baharu dengan 5,525 pesakit disahkan telah pulih.

“Aagka itu menjadikan kumulatif sembuh sebanyak 2,487,809 kes berbanding 2,586,601 kumulatif kes positif,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Beliau berkata daripada 4,854 kes harian yang dilaporkan hari ini, 86 kes atau 1.8 peratus adalah pesakit kategori 3, 4 dan 5, manakala 4,768 pesakit atau 98.2 peratus membabitkan kategori 1 dan 2.

Menurutnya seramai 541 pesakit dirawat di ICU dengan 267 memerlukan alat bantuan pernafasan.

BERITA BERKAIT
POPULAR