Covid-19: Sembilan negeri catat peningkatan kes, Kelantan tertinggi

Sembilan negeri merekodkan peningkatan jangkitan baharu dalam tempoh 24 jam sehingga 12 tengah hari tadi dengan Kelantan mencatatkan lonjakan mendadak.

Bagaimanapun, semua negeri mencatat kes baharu di bawah 900 kes, menurut statistik dikeluarkan Jabatan Kesihatan Negeri-Negeri lewat malam ini.

Berdasarkan laporan harian Jabatan Kesihatan Negeri, Kelantan merekodkan 820 jangkitan baharu, berbanding 376 semalam.

Angka itu menjadikan keseluruhan kes di Kelantan sejak awal tahun lalu hingga tengah hari tadi meningkat kepada 143,211 kes positif, manakala 136,667 pesakit telah sembuh.

Sehingga semalam, Kelantan merekodkan 4,690 kes aktif dengan 3,435 pesakit menjalani kuarantin di rumah; 616 ditempatkan di PKRC; 595 dirawat di hospital; dan 44 pesakit dimasukkan ke unit rawatan rapi dengan 19 daripadanya memerlukan alat bantuan pernafasan. Negeri itu juga mencatatkan 1,063 kematian.

Sembilan lagi negeri yang merekodkan peningkatan jangkitan baharu ialah Pahang sebanyak 273 kes baharu berbanding 220 kes semalam; diikuti Pulau Pinang (256 kes baharu, 245 semalam); dan Terengganu (210 kes baharu, 186 semalam).

Perak pula merekodkan 208 kes baharu berbanding 186 semalam; diikuti Negeri Sembilan (191 kes baharu, 148 semalam); Melaka (168 kes baharu, 152 semalam); Putrajaya (28 kes baharu, 17 semalam); dan Perlis (25 kes baharu, 19 semalam).

Sebanyak 4,543 jangkitan baharu dilaporkan di seluruh negara dalam tempoh itu meningkat berbanding 4,343 kes semalam.

BERITA BERKAIT
POPULAR