Sembilan negeri catat peningkatan kes, enam kluster baharu dikesan

Sembilan negeri hari ini menjadi penyumbang kepada jumlah kes harian Covid-19 di seluruh negara apabila mencatat peningkatan jangkitan baharu dalam tempoh 24 jam sehingga 12 tengah hari tadi.

Selangor, Pulau Pinang, Terengganu, Perak, Negeri Sembilan, Melaka, Sarawak, Putrajaya dan Perlis, masing-masing merekodkan peningkatan jangkitan harian dalam tempoh itu, menurut statistik dikeluarkan Jabatan Kesihatan Negeri-Negeri, malam ini.

Selangor hari ini merekodkan 951 kes baharu berbanding 945 semalam – naik tiga hari berturut-turut – menjadikan kumulatif positif sebanyak 780,188 kes, dengan sehingga semalam 755,691 pesakit telah sembuh, dan 9,901 kematian.

Sehingga semalam, Selangor merekodkan 13,645 kes aktif, dengan 12,716 pesakit menjalani kuarantin di rumah; 96 ditempatkan di PKRC; 774 dimasukkan ke hospital dan 59 dirawat di unit rawatan rapi (ICU), termasuk 39 daripadanya memerlukan alat bantuan pernafasan.

Bagi negeri-negeri lain, Pulau Pinang pula merekodkan 222 kes baharu, berbanding 192 semalam; diikuti Terengganu (213 kes baharu, 210 semalam); dan Perak (206 kes baharu, 158 semalam).

Negeri Sembilan mencatat 153 kes baharu berbanding 121 semalam; Melaka (150 kes baharu, 67 semalam); Sarawak (35 kes baharu, 30 semalam); Putrajaya (29 kes baharu, 20 semalam); dan Perlis (29 kes baharu, 13 semalam).

Sementara itu, Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah berkata seramai 4,998 pesakit disahkan sembuh hari ini menjadikan kumulatif sebanyak 2,652,585 kes atau 97.1 peratus daripada 2,731,713 kumulatif kes positif.

Menurutnya, sebanyak 95 daripada jumlah kes hari ini adalah kes import termasuk melibatkan 15 rakyat asing, manakala 3,415 kes lagi adalah penularan tempatan yang turut membabitkan 160 rakyat asing.

Daripada 3,510 kes harian hari ini, 59 atau 1.7 peratus melibatkan kategori 3, 4 dan 5, manalala 3,451 lagi adalah pesakit kategori 1 dan 2.

Sehingga hari ini, seramai 329 pesakit masih dirawat di ICU dengan 179 daripadanya memerlukan alat bantuan pernafasan.

Dr Noor Hisham juga memaklumkan dalam tempoh 24 jam sehingga 12 tengah hari tadi sebanyak enam kluster baharu dikesan, menjadikan keseluruhannya 6,094 kluster dengan 5,863 daripadanya telah ditamatkan dan 231 masih aktif.

BERITA BERKAIT
POPULAR